Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 16 Februari – Pasukan Blue Titans muncul juara kategori 680 kilogram ke atas dalam Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kelantan 2025, menewaskan C. Hawk dalam aksi mendebarkan di Stadium Mini Pasir Mas, semalam.
Pertandingan tersebut menarik penyertaan 30 pasukan dari seluruh Semenanjung Malaysia, menandakan sambutan luar biasa terhadap sukan tarik tali yang semakin berkembang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata jumlah penyertaan yang besar menunjukkan potensi sukan itu untuk dijadikan acara tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
![]() |
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor |
“Dengan lebih 400 peserta dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Perak dan Johor, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu platform untuk mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan sukan.”
Menurutnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) bagi menaik taraf kejohanan berkenaan ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari dalam ucapan alu-aluannya, mengingatkan bahawa tarik tali bukan sekadar sukan tradisional, malah pernah dipertandingkan di Sukan Olimpik dari tahun 1900 hingga 1920.
![]() |
Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari |
“Pada tahun 2008, China mencatat rekod dunia dengan penganjuran tarik tali terbesar melibatkan 1,500 peserta dan tali sepanjang 1.5 kilometer.
"Saya berharap Kelantan mampu menganjurkan edisi yang lebih besar untuk memecahkan rekod tersebut,” katanya.
Beliau turut menekankan falsafah sukan yang mengajar kesabaran, kerjasama dan keazaman yang menjadi aspek penting dalam pertandingan dan kehidupan.
“Dalam sukan ini, pasukan yang nampak kuat pada awal belum tentu menang pada penghujungnya.
Istiqamah dan usaha berpasukan sehingga ke saat akhir,” ujarnya.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YB Datuk Kamarudin Md Nor.
Turut hadir, ADN Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Perpaduan dan Pelancongan MDPM, Zailani Mat Yunus, Pengarah TIC Mohd Zaki Ismail dan Setiausaha MDPM Ahmad Suhari Samsudin.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori utama dengan ganjaran menarik bagi pemenang mengikut kategori.
Berikut ialah senarai penuh pemenang.
Juara: PDRM Kelantan (RM2,000, piala & medal).
Naib Juara: Bomba & Penyelamat Kelantan (RM1,000 & medal).
Tempat Ketiga: Majlis Daerah Kuala Krai (RM800 & medal).
Tempat Keempat: Pejabat Tanah & Jajahan Pasir Mas (RM500 & medal).
Kategori 680kg ke Bawah (Terbuka)
Juara: C Hawk (RM3,000, piala & medal).
Naib Juara: Selfire (RM1,000 & medal).
Tempat Ketiga: D’Little Mammoth (RM800 & medal).
Tempat Keempat: MBSA (RM500 & medal).
Kategori 680kg ke Atas (Terbuka)
Juara: Blue Titans (RM4,000, piala & medal).
Naib Juara: C. Hawk (RM2,000 & medal).
Tempat Ketiga: D’Team Tow (RM1,000 & medal).
Tempat Keempat: MBSA (RM500 & medal).
0 Comments