Oleh: Norzana Razaly
MACHANG, 15 Februari – Masyarakat luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan terus mendapat manfaat daripada sinergi erat di antara sektor korporat dan kerajaan negeri melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghulurkan sumbangan persekolahan kepada 100 keluarga dalam Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam persiapan persekolahan anak-anak sesi 2025/26, esok.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata program tersebut amat membantu aspek kewangan masyarakat B40 dan simbol keprihatinan pihak industri terhadap keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
"DUN Temangan majoritinya dihuni oleh golongan sederhana dan berpendapatan rendah.
"Ramai yang bergantung kepada hasil torehan getah, tetapi keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut di Dewan Dato' Haji Hassan, Pusat Khidmat DUN Temangan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan turut menekankan bahawa usaha membantu masyarakat perlu melalui saluran yang betul, agar agihan bantuan bersifat adil dan saksama tanpa dipengaruhi kepentingan tertentu.
![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan |
"Seramai 23 penghulu yang paling hampir dengan rakyat telah dikenal pasti untuk menyalurkan maklumat tentang golongan yang benar-benar layak menerima bantuan.
"Kita mahu bantuan ini sampai kepada sasaran tanpa sebarang bias politik,” tegasnya.
Selain TNB, Dato' Mohamed Fadzli memaklumkan bahawa Petronas turut menghulurkan bantuan barangan harian kepada 100 keluarga, minggu lalu.
Manakala RM300 barang keperluan persekolahan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).
Tidak terkecuali, lebih banyak sumbangan sedang diusahakan, termasuk zakat yang ditaja oleh pihak korporat di Kuala Lumpur.
Antara penerima bantuan tersebut ialah keluarga Raden Natalia Raden Andi Shaputra, 32, seorang suri rumah sepenuh masa.
Beliau meluahkan rasa syukur atas keprihatinan TNB dan wakil rakyat Temangan dalam membantu keluarganya.
"Separuh perbelanjaan dapat dikurangkan dengan baucar RM100 tunai untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah bagi dua anak saya," kata ibu kepada Muhammad Affan Rakin Afizi, 10, dan Nur Naura Adelia, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkal Meleret.
Menurutnya, bantuan tersebut amat bermakna kerana kos kelengkapan sekolah semakin meningkat setiap tahun.
"Kadang-kadang kami terpaksa memilih di antara perbelanjaan rumah dan keperluan sekolah anak-anak.
Kami bersyukur sangat dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” katanya.
Sementara itu, dalam konteks pendidikan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli menyuarakan kebimbangan terhadap trend penurunan minat ke sekolah dalam kalangan pelajar dan menyeru ibu bapa agar lebih proaktif.
“Jangan kerana hujan malam tadi, esok anak-anak tidak ke sekolah. Pendidikan adalah aset masa depan. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak secara seimbang.
"Kejutkan bangun tunai Subuh dahulu, kemudian ke sekolah. Agama mesti diutamakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengurus Besar TNB Kelantan Muhamad Azli Ab Rahim memaklumkan bahawa Program Ceria Ke Sekolah merupakan inisiatif CSR TNB yang telah bermula sejak 2013, dengan fokus kepada pembangunan ekonomi sosial, alam sekitar dan kesihatan.
"Kami menyalurkan bantuan kepada 600 pelajar di enam lokasi berbeza sebagai sebahagian daripada usaha ‘memberi balik kepada rakyat’,” katanya.
Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM100 bagi pembelian pakaian sekolah, sebagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu.
Selepas ini, program tersebut akan dilanjutkan ke DUN Kemahang, Pengkalan Kubor, Kijang, Meranti dan Nenggiri pula.
0 Comments