SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Majikan sewajarnya menyediakan persekitaran kerja lebih selamat bagi melindungi pekerja wanita yang bertugas pada waktu malam.
Selain itu kepekaan dan kepedulian masyarakat juga memainkan peranan penting bagi menjamin keselamatan wanita, yang bukan sahaja tonggak keluarga tetapi turut menjadi aset pembangunan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, wanita yang bekerja sehingga lewat malam diingatkan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini
Katanya beberapa langkah boleh dilakukan iaitu sentiasa memaklumkan lokasi dan pergerakan kepada keluarga atau rakan terdekat.
"Peniaga khususnya dalam kalangan wanita perlu menggunakan pengangkutan yang selamat, serta mengelakkan kawasan sunyi atau individu mencurigakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
"Apa yang penting mereka digesa tidak memakai perhiasan berlebihan atau membawa wang tunai dalam jumlah agak banyak," katanya di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian menimpa seorang peniaga yang mati dipercayai dibunuh selepas keluar COD makanan empat hari lepas.
Rohani yang juga Adun Tanjung Mas berkata, kesedaran dan langkah yang diambil bersama masyarakat lebih selamat dan sejahtera dapat dibentuk.
Menurutnya juga individu yang terbabit melakukan jenayah tersebut dianggap gagal menghayati cara hidup Islam dan membelakangkan hukum Allah sewenang-wenangnya.
0 Comments