SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Garis panduan penglibatan orang Islam dalam perayaan keagamaan selain Islam perlu dikeluarkan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan umat Islam mempunyai panduan jelas berkaitan perkara tersebut.
Katanya isu tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin sehingga dibawa semula ke kabinet untuk perbincangan lanjut.
"Garis panduan hanya melibatkan umat Islam, sementara fatwa berkaitan penglibatan dalam perayaan keagamaan bukan Islam telah pun wujud," katanya di sini.
Baru-baru ini Menteri Hal Ehwal Agama Islam Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar memaklumkan garis panduan tersebut disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dijadualkan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126.
Mohd Asri juga berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 12 Jun 2007 menetapkan ucapan tahniah kepada bukan Islam sempena perayaan mereka adalah harus, dengan syarat tidak mengandungi unsur mengiktiraf atau memuliakan agama lain.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 22 Januari 2019 turut memutuskan umat Islam dilarang menghadiri majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.
Katanya, Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melarang umat Islam daripada menghadiri ritual keagamaan bukan Islam.
Manakala Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 25 Mac 1987 pula menegaskan, pembesar Islam tidak boleh merasmikan rumah ibadat bukan Islam kecuali jika ia boleh mengelakkan perpecahan kaum, dengan syarat tidak menyertai upacara ibadat mereka.
0 Comments