Ticker

6/recent/ticker-posts

AKAL MANUSIA MENGATASI KECERDIKAN BUATAN (AI) – EXCO PENERANGAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 6 Mac – Walaupun teknologi Kecerdasan Buatan (AI) berkembang pesat sejak kajiannya bermula pada era 1950-an, ia tetap tidak mampu menandingi kehebatan akal manusia, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.

Menurutnya, kecanggihan AI seperti ChatGPT, Claude, DeepSeek dan pelbagai sistem lain yang kini digunakan secara meluas di seluruh dunia masih tidak dapat menggantikan anugerah akal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia.

"Kita perlu yakin bahawa tiada teknologi yang dapat menggantikan keistimewaan akal manusia kerana ia merupakan sebahagian daripada karamah insaniyah yang dianugerahkan Allah SWT kepada manusia," katanya menerusi hantaran di ruangan "Tawasau" (Saling Berpesan) di media sosial miliknya pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa meskipun AI membantu mempercepatkan tugas seperti menjana idea, menterjemah, dan mereka bentuk imej, ia hanyalah alat yang dicipta dan dikawal oleh manusia.

"Dalam keterujaan kita meneroka kecanggihan AI, jangan sampai kekaguman itu mengatasi kebergantungan kepada Allah SWT. Teknologi hanyalah wasilah, sedangkan kekuasaan Allah SWT yang sebenar memudahkan urusan kehidupan manusia," ujarnya.

Tambah beliau, Islam tidak menghalang penggunaan AI, bahkan umat Islam digalakkan untuk memanfaatkannya bagi mempermudahkan kerja dalam ruang lingkup yang diizinkan syariat.

"Menolak teknologi AI adalah satu kerugian, tetapi penggunaannya mestilah selari dengan tuntutan agama dan nilai-nilai murni," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments