Ticker

6/recent/ticker-posts

Anak yatim teruja pertama kali menginap di hotel



SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Anak-anak yatim dari beberapa rumah kebajikan di sini mengakui teruja kerana pertama kali merasai pengalaman menginap di hotel dan iftar secara percuma. 


Muhammad Zawwir Razuan, 16, dari Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafat Darul Mizan, Bachok, mengakui teruja kerana pengalaman pertama dalam hidupnya menginap di hotel.

Zawwir


“Saya tak pernah bermalam di hotel sebelum ini, walau pun hanya semalaman. Ini adalah pengalaman pertama saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Seramai 100 anak yatim diraikan dalam majlis iftar anjuran H Elite Hotel dan diberi peluang menginap percuma.


Seorang lagi anak yatim, Athirah Shafi, 14, dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Madrasah Hafizul Quran, Pasir Puteh, turut berkongsi keterujaannya.

Athirah


“Makan atau berbuka puasa di hotel pernah, tetapi menginap di hotel belum pernah saya lalui. Alhamdulillah, syukur. Saya mewakili rakan-rakan mengucapkan terima kasih banyak atas undangan ini,” ujarnya.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan, Dato’ Mohd Nazri Mohd Nor, melahirkan rasa syukur kerana masyarakat di negara ini, khususnya di Kelantan, sentiasa menghargai anak-anak yatim.

Nazri


“Masyarakat kita sangat prihatin terhadap golongan tersebut dengan melakukan pelbagai aktiviti dan bantuan. Dalam tempoh sebulan ini sahaja, anak-anak yatim di bawah pertubuhan kami menerima banyak jemputan untuk majlis berbuka puasa,” katanya.


Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada H Elite Hotel kerana bukan sahaja menaja ifthar, malah menyediakan bilik penginapan percuma kepada anak-anak yatim.


“Ia sesuatu yang jarang berlaku di hotel-hotel lain, lebih-lebih lagi melibatkan seramai 100 orang,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengurus Perhubungan Awam H Elite Hotel, Tan Chia Ying, berkata program tersebut diadakan sebagai usaha menyantuni anak-anak yatim agar mereka turut merasai pengalaman menginap di hotel.


Menurutnya, pemilik hotel, Chuah Chong Ewe dan isterinya, Ang Lian See, pernah melalui pengalaman sukar semasa kecil di mana teringin menginap di hotel tetapi tidak mampu.


“Atas sebab itu, mereka mahu memberi peluang kepada anak-anak yatim agar dapat merasai pengalaman tersebut dan bergembira,” katanya.

Post a Comment

0 Comments