Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN ANJUR PERTANDINGAN SENI KECANTIKAN KAMBING BOER, KALAHARI 2025 TERBUKA

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Breeder Kalahari Boer Kelantan akan menganjurkan Pertandingan Seni Kecantikan Kambing Boer dan Kalahari 2025 pada 3 Mei di Pantai Tujuh, Tumpat.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pertandingan tersebut terbuka kepada penternak kambing di seluruh negara.

Katanya, menurut maklumat daripada penyelaras pertandingan, terdapat juga penternak dari Thailand yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut.

"Penganjuran pertandingan ini bertujuan menggalakkan promosi dan mempergiat industri penternakan kambing, khususnya bagi baka Boer dan Kalahari.

"Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai ciri-ciri baka kambing berkualiti, terutama untuk pembiakan dan sumber daging.

"Program ini turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi besar industri penternakan kambing di negara ini serta kepentingan memilih baka berkualiti bagi tujuan pembiakan," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.

Menurutnya lagi pertandingan tersebut menjadi platform memperkukuh industri ternakan kambing di Kelantan dan seterusnya memperkasakan penternak tempatan.

"Dengan usaha bersama dan sokongan semua pihak, industri ternakan kambing Boer dan Kalahari dapat berkembang pesat, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi negeri serta penternak di seluruh negara," ujarnya.

Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin mengadakan pertemuan dengan ahli Persatuan Breeder Kalahari Boer Kelantan, diketuai Ketua Penyelaras Pertandingan Seni Kecantikan Kambing Boer & Kalahari 2025, Muhamad Najib di pejabat beliau di Mabna pada Ahad.



Post a Comment

0 Comments