Ticker

6/recent/ticker-posts

Dahulu kritik, selepas terajui kerajaan laksana pula



SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Ketika berada di saf pembangkang pemimpin PKR dan DAP mengkritik keras usaha dilakukan kerajaan menyelamat syarikat berkaitan kerajaan yang berdepan masalah kewangan. 


Malah, tiga tahun lalu ketika debat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, ketua pembangkang ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik cadangan kerajaan selamatkan Sapura Energy Bhd yang dikelilingi hutang.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak dasar yang dahulu pernah dikritik mereka kini dilaksanakan semula apabila berada dalam kerajaan.


“Begitu juga dalam isu ‘bailout’ bagi menyelamatkan Sapura Holdings. Dahulu mereka lantang mengkritik pendekatan tersebut, tetapi kini mereka pula melaksanakannya.


"Secara prinsipnya memang benar Sapura perlu diselamatkan, namun sepatutnya ia dilakukan dalam bentuk pinjaman yang dijamin kerajaan atau kaedah lain yang tidak membebankan dana awam.


“Tetapi pendekatan yang diambil sekarang seolah-olah menggunakan terus dana awam untuk menyelamatkan sebuah syarikat,” katanya pada majlis Iftar Dun Salor semalam.


Hadir sama Adun Salor, Saizol Ismail dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan. 


Baru-baru ini media melaporkan Anwar  menyalur bantuan RM1.1 bilion untuk menyelamatkan Sapura Energy sebagai talian hayat syarikat tersebut.



Tuan Ibrahim juga berkata, pada zaman Tun Dr Mahathir juga pernah berlaku pendekatan serupa untuk menyelamatkan kepentingan tertentu.


Menurutnya kerajaan Madani dilihat tidak konsisten apabila melaksanakan semula perkara-perkara yang pernah mereka kritik sebelum ini 


Namun katanya, kerajaan seharusnya menilai secara lebih teliti trend perniagaan dan mengenal pasti sama ada ia benar-benar berkepentingan untuk kerajaan atau mempunyai impak kepada Bumiputera.


“Kalau akhirnya pemberian dana itu hanya akan menanggung kerugian syarikat, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.


Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, perlu mekanisme lebih telus dan berpandukan kepentingan sebenar negara, bukan sekadar menyelamatkan entiti korporat bermasalah menggunakan wang rakyat.

Post a Comment

0 Comments