SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kontraktor elektrik yang terpilih melaksanakan kerja penyelenggaraan diharap dapat melaksanakan amanah kerja dengan sempurna dan tidak mensubkan kepada pihak ketiga.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, kerja-kerja yang dijalankan bukan sekadar menjana pendapatan, bahkan sebagai sumbangan kepada negeri tercinta.
Katanya lampu jalan yang berfungsi dengan baik dapat memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin.
"Peruntukan besar yang disediakan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar jalan-jalan di Kelantan terus diterangi cahaya.
“JKR Kelantan, khususnya JKR Elektrik perlu membuat pemantauan ketat dan tidak teragak-agak mengeluarkan amaran atau menyenarai hitam kontraktor yang gagal melaksanakan kerja dengan baik,” katanya pada majlis cabutan undi kerja di Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini.
Sebanyak 69 senarai kerja penyelenggaraan melibatkan pelbagai kategori diumumkan pada program tersebut.
Daripada jumlah itu, 63 senarai kerja melibatkan penyelenggaraan lampu jalan persekutuan dan negeri, dua kerja penyelenggaraan lampu isyarat, tiga kerja penyelenggaraan bangunan sekolah serta satu kerja penyelenggaraan bangunan di Kompleks Kota Darulnaim.
Saizol berkata, daripada 63 senarai kerja tersebut 11 daripadanya akan dilaksanakan sebelum Aidilfitri dan selebihnya selepas Aidilfitri.
Menurutnya, kesemua senarai kerja di bawah peruntukan Program Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan dan Kawasan Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap, Program Penswastaan Penyelenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat Di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.
Ia juga di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (KAPJN) dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.585 juta.
“Majlis cabutan undi kerja hari ini turut berjaya menarik penyertaan sebanyak 185 kontraktor elektrik, ini menunjukkan satu peningkatan berbanding 149 kontraktor tahun lalu.
“Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya 178 kontraktor layak menyertai cabutan setelah tujuh penyertaan ditolak atas sebab tidak memenuhi syarat seperti lesen CIDB tamat tempoh dan tiada pengkhususan bidang yang diperlukan,” kata beliau.
Menurutnya juga matlamat utama program itu untuk memastikan pelaksanaan projek kerajaan dibuat secara telus melalui kaedah kerja requisition secara undian.
0 Comments