Ticker

6/recent/ticker-posts

HENTIKAN SEGERA JENAYAH BULI SIBER – EXCO PENERANGAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Mac – Buli siber yang semakin berleluasa di dunia maya perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kesan buruk terhadap mangsa, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.

Menurutnya, jenayah digital seperti penyebaran fitnah, pengubahsuaian gambar atau video, penggodaman akaun media sosial dan pelbagai bentuk gangguan maya bukan sahaja mencemarkan maruah serta reputasi seseorang, malah boleh membawa kesan lebih serius, termasuk mengancam nyawa.

"Walaupun jenayah buli siber ini tidak bersifat fizikal kerana dilakukan secara digital, namun mangsa tetap menerima impak yang boleh mencetuskan cercaan, ancaman dan tekanan emosi berpanjangan.

"Ada yang mengalami kemurungan melampau hingga menjejaskan kesihatan mental, hilang sumber pendapatan, malah boleh membawa kepada tindakan di luar kawalan," katanya menerusi satu hantaran di ruangan Tasawau' (Saling Berpesan) di media sosial miliknya pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa buli siber bukan sekadar kesalahan moral, tetapi turut dianggap sebagai satu dosa yang akan diadili oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Merujuk firman Allah dalam Surah al-Kahf, ayat 49, beliau mengingatkan bahawa setiap perbuatan, sama ada kecil atau besar, akan tercatat dan dihisab tanpa sebarang kelalaian.

"Walaupun perbuatan ini sukar dibuktikan di mahkamah dunia, namun di akhirat nanti, mereka yang terlibat dalam buli siber akan diadili dengan seadil-adilnya," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbuatan zalim seperti ini boleh menjadikan seseorang muflis amalan, sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

"Dalam hadis tersebut, baginda mengingatkan tentang individu yang datang pada Hari Kiamat dengan amal ibadat, tetapi dosa mereka terhadap orang lain menyebabkan pahala mereka diberikan kepada mangsa. Jika pahala habis, dosa mangsa pula dipindahkan kepada mereka," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital dan tidak terjebak dalam budaya buli siber yang boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Post a Comment

0 Comments