Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 8 Mac – Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa konsep al-Wala’, iaitu kepatuhan, pertolongan, kasih dan kesetiaan yang ikhlas terhadap perjuangan Islam kerana Allah, merupakan elemen penting dalam memastikan keutuhan jamaah.
Menurutnya, keteguhan al-Wala’ telah diangkat sebagai salah satu daripada sepuluh rukun Bai‘ah oleh al-Syahid Imam Hasan al-Banna bagi memastikan kekuatan dan kestabilan sesebuah gerakan Islam.
“Allah SWT telah menegaskan dalam Surah al-Maidah, ayat 55-56 bahawa pertolongan sejati datang daripada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat serta menunaikan zakat.
"Mereka inilah golongan yang berpegang teguh pada agama Allah dan akan sentiasa berada di barisan kemenangan,” katanya menerusi siri Bingkisan Ramadan Juz 6, semalam.
Beliau turut mengimbas kisah Bani Israil yang menolak seruan Nabi Musa AS untuk memasuki Palestin, sebagaimana dirakam dalam ayat 24 surah yang sama. Keengganan mereka melaksanakan perintah Allah membawa kepada kemurkaan-Nya dan menjadi peringatan buat umat Islam agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Sebaliknya, beliau menyeru umat Islam mencontohi keberanian Miqdad bin al-Aswad dalam Perang Badar al-Kubra, yang dengan tegas menyatakan kesetiaan dan ketaatan kepada Rasulullah SAW.
“Ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan perintah untuk berperang, Miqdad berkata, ‘Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepadamu oleh Allah, nescaya kami bersama. Kami tidak akan berkata seperti Bani Israil kepada Nabi Musa, sebaliknya kami akan berjuang bersamamu walau sejauh mana sekalipun.’ Suara keramat ini disahut oleh para sahabat yang lain, yang terus bangkit menyatakan kepatuhan mereka kepada Rasulullah SAW,” jelasnya.
Menteri Besar turut menegaskan bahawa setiap pendukung perjuangan Islam, khususnya para pemimpin, perlu memiliki jiwa yang tinggi dan roh perjuangan yang kental bagi memastikan keutuhan jamaah sentiasa terpelihara.
“Setiap keputusan yang dibuat haruslah meletakkan kepentingan jamaah mengatasi kepentingan peribadi, agar perjuangan ini terus utuh dan mendapat pertolongan daripada Allah,” tegasnya.
0 Comments