Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PERCEPATKAN PEMBANGUNAN TERMINAL KB SENTRAL

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM , 26 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan terus mengambil langkah agresif dalam merealisasikan impian rakyat untuk memiliki terminal  bas KB Sentral sebagai hab pengangkutan moden yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial di negeri ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar  YB Dato' Dr. Izani Hussin menegaskan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek Pembangunan Terminal KB Sentral terus disusun rapi bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa yang saya pengerusikan, saya ingin menegaskan bahawa setiap langkah yang kita ambil adalah demi kemajuan negeri. Pembangunan ini bukan sekadar mercu tanda baharu, tetapi juga pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial rakyat.

“Hasrat kita jelas untuk merealisasikan impian rakyat Kelantan menjadi kenyataan,” katanya  melalui laman sosialnya, pada Rabu.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri, bersama seluruh ahli jawatankuasa berkaitan, komited dalam memastikan kejayaan projek ini demi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri.

“Saya bersama seluruh ahli jawatankuasa, bertekad untuk memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan kejayaan Terminal KB Sentral, demi manfaat dan masa depan negeri yang lebih gemilang,” catatnya.

Terminal KB Sentral dijangka menjadi pusat pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai sistem pengangkutan awam, sekaligus memperkukuh rangkaian mobiliti di Kelantan dan meningkatkan daya saing ekonomi setempat.

“Projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat, malah akan menjadi pemangkin kepada sektor perniagaan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan,” tambah beliau.

Post a Comment

0 Comments