Ticker

6/recent/ticker-posts

Makanan dimasak boleh dijual bermula 3 petang

 


SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kerajaan negeri  menetapkan makanan yang dimasak hanya boleh dijual kepada pelanggan bermula jam 3.00 petang bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang dikuatkuasakan di Kelantan. 


Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, sebelum waktu tersebut, peniaga tidak dibenarkan menjual makanan yang dimasak termasuk dibungkus.


Bagaimanapun katanya premis milik peniaga bukan Muslim yang dikhususkan untuk golongan tersebut sahaja dibenarkan beroperasi awal. 


"Tempoh membungkus makanan hanya dibenarkan bermula jam 3.00 petang, manakala pelanggan yang ingin berbuka puasa di kedai pula hanya boleh memasuki premis dan duduk di meja bermula 6 petang," katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad 1V, di sini semalam.


Menurut beliau, peraturan tersebut berjalan sejak sekian lama dan terus dikuatkuasakan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.


Hilmi juga berkata, individu yang tidak berpuasa dilakukan tangkapan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan dikenakan tindakan kompaun di bawah  Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.



Hilmi turut mengingatkan peniaga di tapak jualan bazar Ramadan agar memastikan kebersihan sentiasa terjaga.


"Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyediakan tong sampah besar jenis 'tong roro' bagi memudahkan peniaga membuang sisa buangan," katanya.


Menurutnya juga kutipan sampah meningkat lebih 4 peratus pada bulan Ramadan berbanding hari biasa, khususnya melibatkan pembungkusan makanan seperti plastik.


"Tahun lepas, jumlah sampah yang dikutip sebanyak 785.4 tan sepanjang Ramadan dengan purata 251.7 tan sehari dengan peningkatan sebanyak 4.4 peratus," katanya.

Post a Comment

0 Comments