Ticker

6/recent/ticker-posts

MANTAN MB KELANTAN TERIMA ANUGERAH TOKOH ALUMNI AL-AZHAR MALAYSIA 2025

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 17 Mac – Mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob menerima Anugerah Perdana Tokoh Alumni Al-Azhar Malaysia 2025 dalam satu majlis berprestij anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) bersempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Duta Besar Republik Arab Mesir ke Malaysia, T.Y.T Ragai Tawfik Said Nasr di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mengulas penghormatan tersebut, Dato’ Ahmad menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas penganugerahan yang diterima.

"Saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai penganugerahan ini. Anugerah ini bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi keilmuan dan kepimpinan Islam yang diperjuangkan oleh Al-Azhar al-Sharif," katanya dalam ucapan di majlis berkenaan yang turut dikongsikan di laman media sosialnya pada Ahad.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia diadakan sebagai memperingati sejarah Universiti Al-Azhar, sebuah institusi keilmuan Islam yang telah bertahan lebih 1,084 tahun serta memainkan peranan penting dalam membentuk ilmuan Islam di seluruh dunia.

Program tersebut turut menghimpunkan para ilmuan, tokoh akademik dan pelajar dari pelbagai bidang bagi memperkukuh hubungan serta membincangkan cabaran dan masa depan pendidikan Islam.

Penganugerahan berkenaan mengiktiraf sumbangan besar Dato’ Ahmad dalam bidang keilmuan Islam, dakwah dan kepimpinan masyarakat.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri dan dakwah Islam, beliau terus memainkan peranan dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam sistem politik negara.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Ahmad atas pengiktirafan tersebut.

"Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan besar atas jasa dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan ilmu, dakwah serta kepimpinan berteraskan Islam. Semoga beliau sentiasa diberkati oleh Allah SWT dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Ahad.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud yang  juga alumni Al-Azhar, menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu pengiktirafan besar kepada lepasan Al-Azhar yang telah memimpin negeri dengan pencapaian terbaik serta melahirkan pemimpin pelapis yang meneruskan kepimpinan ulama.



Post a Comment

0 Comments