Oleh: Norzana Razaly
TUMPAT, 17 Mac – Program Tadarus Al-Quran Perdana Peringkat Tumpat telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Padang Bola Lorong SMU (A) Meheliah Geting pada Khamis lalu.
Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri Pengkalan Kubor, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, penganjuran program tersebut bertujuan menghidupkan Ramadan dengan amalan yang baik seperti membaca al-Quran, bersedekah, bersolat malam, serta beriktikaf di masjid.
“Program anjuran Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan yang memperkukuh hubungan masyarakat dengan al-Quran.
![]() |
Solat tarawih dipimpin oleh Imam Madinah Ramadan, Syeikh Muhamad Soubhi Gomaa Alsyeikh, |
“Pengisian program sepenuhnya disusun dengan slot kerohanian dan kupasan ayat suci al-Quran bagi memperkukuhkan kecintaan umat Islam terhadap kalam Allah,” katanya.
Menurut Dato’ Wan Roslan, sesi tadabur ayat al-Quran memberi tumpuan kepada surah Hud, bermula ayat 116 hingga 120, kupasan Pegawai Agama Jajahan Bachok Ustaz Suratemi Mat Daud.
"Sesi ini memberi kefahaman mendalam tentang isi kandungan al-Quran serta pengajaran yang boleh dihayati sepanjang Ramadan," jelasnya.
![]() |
Kuliah selepas tarawih disampaikan oleh Ustaz Mokhtar Yacob |
Selain itu, hadirin berpeluang menunaikan solat tarawih yang dipimpin oleh Imam Madinah Ramadan, Syeikh Muhamad Soubhi Gomaa Alsyeikh, serta mendengar kuliah selepas solat tarawih yang disampaikan oleh penceramah undangan khas Ustaz Mokhtar Yacob.
Tambahnya, program berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan semangat kesatuan dalam memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini.
“Kita berterima kasih kepada penganjur, petugas dan semua hadirin atas komitmen dan kerjasama padu. Kita juga berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasa penghayatan Islam dalam kalangan umat Islam khasnya di Tumpat,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
![]() |
Sesi tadabur ayat al-Quran oleh Ustaz Suratemi Mat Daud |
0 Comments