Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 4 Mac – Media sosial menjadi medium paling pantas dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat pada era digital ini, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.
Menurutnya, kecanggihan teknologi komunikasi hari ini membuka peluang luas bagi penyebaran dakwah secara lebih meluas dan berkesan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa setiap kandungan yang dikongsikan perlu berlandaskan garis panduan syarak agar tidak menyimpang daripada tujuan sebenar.
"Penggunaan media sosial dalam menyebarkan kebaikan mampu menyentuh hati manusia dengan pantas.
"Namun, perlu ada penelitian dalam memilih mesej yang ingin disampaikan agar ia kekal dalam ruang yang diizinkan oleh syarak," catatnya di ruangan "Tawasau" (Saling Berpesan) di media sosial miliknya pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan dakwah tidak terhad kepada tazkirah atau kuliah agama sahaja.
Sebaliknya boleh disampaikan melalui pelbagai cara yang lebih santai seperti bertanya khabar, memberi komen positif, serta berinteraksi secara sihat di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
"Kadangkala, teguran yang diberikan secara baik dan berhikmah mampu menggembirakan serta melembutkan hati orang yang ditegur," tambahnya.
Selain itu, YB Mohd Asri juga menekan kepentingan pendekatan hikmah dalam berdakwah, termasuk memberi teguran secara bersesuaian dengan situasi dan hubungan dengan individu yang ditegur.
"Adakalanya, menjadi pengikut setia melalui ‘like’ dan ‘follow’ serta memberi teguran dalam bentuk teladan boleh menjadi cara dakwah yang berkesan, terutama dalam menarik perhatian golongan muda," katanya.
Beliau menyeru masyarakat agar menggunakan kebijaksanaan dalam berdakwah di media sosial supaya mesej kebaikan dapat diterima dengan lebih mudah dan berkesan oleh sasaran.
0 Comments