SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kedudukan geografi berhampiran sempadan antara faktor utama Kelantan tersenarai sebagai negeri ketiga tertinggi kes penyalahgunaan dadah tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad berkata, Kelantan paling hampir dengan sempadan, lebih mudah penyeludup membawa masuk bekalan dadah.
Namun katanya situasi sama turut berlaku di seluruh negara biar pun dilihat Kelantan ketiga tertinggi dengan perbezaan jumlah kes yang tidak ketara.
"Selain itu, rakyat negeri ini lebih sensitif menyebabkan lebih banyak kes dilaporkan kepada pihak berkuasa menyebabkan tangkapan dan serbuan kerap dibuat," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) 2025 yang diadakan di Jewels Hotel, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Kemudi, Yatimin Abdullah.
Statistik tahun lalu menunjukkan Selangor merekodkan jumlah kes dadah tertinggi iaitu 21,385 kes, diikuti Johor (18,707) dan Kelantan (18,507).
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan percaya usaha pihak berkuasa menutup laluan haram di sempadan sejak 1 Disember lalu akan membantu mengurangkan jenayah berkaitan dadah.
Zamakshari juga berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pasukan keselamatan bagi memperkasakan Pemadam di peringkat negeri.
"Antara yang akan dibincangkan termasuk sasaran pengurangan kadar penyalahgunaan dadah, misalnya pengurangan 10 peratus dalam tempoh beberapa tahun," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan melantik setiausaha kerja sepenuh masa bagi memastikan gerak kerja lebih efektif berbanding sebelum ini yang dilaksanakan secara separuh masa.
0 Comments