Ticker

6/recent/ticker-posts

SAYANGI HARTA SENDIRI DENGAN MENDERMA-MENTERI BESAR

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 2 Mac- Apabila berbicara tentang tabung derma, kita kena ingat bahawa bukan bererti kita memberi harta kita kepada orang, tetapi hakikat sebenarnya memberi kepada kita sendiri, kata Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, hakikat sebenar derma tersebut adalah untuk kebaikan penderma itu sendiri di dunia dan akhirat, dan inilah orang yang benar-benar sayang kepada hartanya.

"Allah SWT berjanji kepada orang-orang menderma pada jalan Allah, akan diganti di dunia dengan yang lebih baik, manakala di akhirat akan mendapat ganjaran pahala.

"Oleh itu, sesiapa yang sayang kepada hartanya, maka harta itu digunakan untuk faedah bagi dirinya di dunia dan akhirat. Antara faedah harta untuk diri sendiri ialah dengan menderma dan tidak kedekut."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Ihya' Madinah Ramadan 1446H bersamaan 2025 di Medan Ilmu, Kota Bharu, pada Jumaat.

Menurut beliau lagi, harta sebenar milik seseorang adalah apa yang telah dibelanjakan seperti bersedekah dan sebagainya, sedangkan harta yang disimpan adalah hak milik orang lain setelah pemiliknya meninggal dunia.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pelancaran tabung ini adalah untuk kutipan daripada seluruh rakyat Kelantan secara persendirian untuk menampung perbelanjaan sepanjang sebulan di Madinah Ramadan.

"Pelancaran kutipan Tabung Ihya' Madinah Ramadan untuk memberi peluang kepada rakyat Kelantan mempunyai saham dalam melaksanakan program Madinah Ramadan pada tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

"Kutipan ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan seperti kos iftar harian yang mana pihak urusetia Madinah Ramadan akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk 1000 hingga 2000 pengunjung setiap hari. Kos iftar keseluruhan untuk sebulan bulan Ramadan adalah RM600 ribu.

"Sebelum ini kita mengadakan majlis hi-tea  di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim bagi meraikan golongan korporat dan usahawan daripada 32 syarikat yang menghulurkan sumbangan," katanya kepada media selepas majlis pelancaran tersebut.

Menurutnya lagi, kepada sesiapa yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui online dengan membuat imbasan di kod QR yang disediakan di setiap sudut Madinah Ramadan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad VI, Kota Bharu.

"Kita menyeru kepada yang hadir di Madinah Ramadan untuk menyumbang kepada tabung Ihya' Madinah Ramadan bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada pengunjung yang datang.

"Begitu juga kepada semua rakyat Kelantan termasuk anak Kelantan yang berada di perantauan diseru untuk menghulurkan sumbangan," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments