Ticker

6/recent/ticker-posts

STOK DARAH MEROSOT, PENDERMA DIPERLUKAN SEGERA

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA BHARU, 10 Mac – Kutipan darah di Kelantan merosot secara mendadak sepanjang Ramadan, menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan darah di semua hospital negeri ini.

Minggu lalu sahaja, sebanyak 558 beg darah telah digunakan, sedangkan kutipan hanya 217 beg darah, jauh daripada keperluan sebenar.

"Setakat ini, kami masih bertahan dengan stok darah yang dikumpul sebelum Ramadan. Namun, jika keadaan ini berterusan, stok akan semakin berkurangan.

"Lebih merisaukan, darah mempunyai tarikh luput – Packed Cell hanya bertahan 4 hingga 6 minggu, manakala Platelet perlu digunakan dalam tempoh 5 hari sahaja," menurut kenyataan Pusat Derma Darah Kelantan, hari ini.

Bagi mengatasi krisis berkenaan, pelbagai inisiatif sedang diusahakan.

Program derma darah dijadualkan berlangsung di masjid-masjid pada waktu malam kerana memberi peluang kepada penderma Muslim yang berpuasa.

Manakala bagi mereka yang tidak berpuasa, termasuk bukan Muslim, mereka digalakkan menderma pada waktu siang di Pusat Derma Darah yang terdekat.

Orang ramai diseru untuk tampil membantu mengimbangkan ‘congek-cakdong’ di antara bekalan dan permintaan darah.

Usaha tersebut adalah tanggungjawab perubatan dan satu bentuk kebajikan dan sedekah jariah sepanjang bulan mulia ini.

Jadual terkini kempen derma darah boleh didapati melalui laman rasmi Derma Darah Kelantan di media sosial atau Telegram di https://t.me/dermadarahkelantan.

Maklumat lanjut boleh diakses menerusi https://linktr.ee/dermadarahkelantan.

Post a Comment

0 Comments