Ticker

6/recent/ticker-posts

TAKWA, SABAR KUNCI KEJAYAAN – MB KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 5 Mac – Ketakwaan dan kesabaran adalah kunci utama dalam mencapai kejayaan, terutama dalam menghadapi ujian serta mempertahankan kebenaran Islam.

Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata demikian dengan merujuk surah Ali Imran, khususnya dalam peristiwa hiwar Rasulullah SAW bersama delegasi Nasrani dari Najran, ujian yang menimpa keluarga Imran, serta kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud.

Menurutnya, surah tersebut menggaris bawah betapa pentingnya dua elemen itu dalam kehidupan seorang pemimpin dan pendakwah.

"Dalam menegakkan kebenaran Islam, kita tidak akan terlepas daripada tentangan. Ini adalah sunnatullah yang akan kekal sehingga hari kiamat. Oleh itu, takwa dan sabar perlu menjadi bekalan utama dalam perjuangan," katanya menerusi Bingkasan Ramadan Juz 4, hari ini.

Beliau turut mengingatkan tentang firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 125:

"Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing."

Jelasnya, empat natijah dominan daripada takwa dan sabar dalam perjuangan  iaitu keselamatan daripada kejahatan dan tipu daya musuh (ayat 120), pertolongan dan nusrah Allah (ayat 125), ganjaran pahala yang besar (ayat 186) dan kejayaan di dunia dan akhirat (ayat 200).

Sehubungan itu, beliau menyeru para pemimpin dan pendakwah agar sentiasa memperkukuhkan ketakwaan serta membina daya tahan diri melalui kesabaran, terutama dalam menghadapi cabaran dan ujian perjuangan.

"Tanpa takwa dan sabar, kelemahan dan kekalahan pasti menanti. Oleh itu, bersempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita melipatgandakan amal soleh serta menjadikan puasa sebagai latihan membentuk kesabaran, agar akhirnya kita mencapai darjat takwa di sisi Allah SWT," katanya.

Post a Comment

0 Comments