Ticker

6/recent/ticker-posts

Tidak solat antara faktor kes bunuh diri

 


SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Perkampungan Ramadan di Laman Warisan Kampung Laut dipenuhi pelbagai program kerohanian dan kebajikan sepanjang bulan Ramadan. 


Antaranya Tadarus Belia, Haflah al-Quran, Pertandingan Tilawah al-Quran, Program Kongsi Rasa Ramadan, Himpunan Anak Muda Tamu Ramadan dan Majlis Penyampaian Sumbangan Perkampungan Ramadan.


Ketua Jajahan Tumpat, Mohamad Nazwan Ismail berkata, pelaksanaan program turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan termasuk Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat, Pejabat Halaqat Tumpat, AADK, Kelab Beliawanis serta Kelab Anak Muda Tumpat.


Katanya juga pelbagai pihak menyalur sumbangan kepada Tabung Perkampungan Ramadan yang akan disampaikan kepada golongan kurang berkemampuan melalui Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Masjid Warisan Kampung Laut.


“Marilah kita doakan usaha kecil kita ini mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT dan memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana,” katanya pada perasmian program tersebut semalam. 


Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, umat Islam perlu memahami keistimewaan Ramadan bukan hanya terletak pada ibadah puasa semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai amalan lain seperti bersedekah, berbuat kebajikan dan ibadah sunat.



“Sebab itu Tok Guru Nik Abdul Aziz dahulu tidak benarkan sebut ‘bulan puasa’ tapi sebutlah ‘bulan Ramadan’ kerana banyak perkara perlu dipertingkatkan dalam bulan ini,” katanya ketika merasmikan program tersebut. 


Hadir sama ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, ADUN Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.


Mohd Asri juga berkata, antara tahun 2022 hingga 2024 terdapat 17 kes bunuh diri di negeri itu berpunca antaranya putus cinta, tekanan kewangan dan masalah hutang.


“Tetapi yang paling besar, mereka tidak solat. Solat adalah asas. Jika masyarakat jaga solat, insya-Allah kita boleh hentikan masalah sosial ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments