Oleh: Asri Hamat
TANAH MERAH, 9 April- Seramai 30 orang wasi peserta Skim Khairat Kifalah di Dewan Negeri (DUN) Kemahang menerima bayaran pampasan bermula awal tahun 2025 hingga hari ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang, YB Mejar (B), Dato' Md Anizam AB Rahman.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, bayaran tersebut berjumlah RM30,000, di mana setiap wasi menerima sebanyak RM1,000 setelah peserta Skim Khairat Kifalah meninggal dunia.
Jelas beliau, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk meringankan beban keluarga peserta yang telah kembali ke rahmatullah.
"Penyerahan sumbangan melalui Skim Khairat Kifalah ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan menjaga kebajikan rakyat, terutama menghadapi saat-saat sukar selepas kehilangan keluarga tersayang," katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Selasa.
Tambah beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan setiap waris peserta akan menerima manfaat yang sewajarnya.
"Kita sentiasa komited dalam memastikan pewaris peserta skim ini mendapat manfaat yang sewajarnya dan proses urusan berkaitan skim ini dijalankan dengan penuh integriti.
"Semoga sumbangan ini memberi sedikit kelegaan kepada keluarga yang ditinggalkan dan menjadi bukti bahawa agenda kebajikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri," tambah beliau.
Untuk rekod, skim ini bermula pada tahun 2007 dengan nama Skim Takaful Kifalah Warga Emas dan diuruskan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) iaitu Kifalah Sdn Bhd. Namun pada tahun 2019, pengurusan diambil alih oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dengan nama baharu iaitu Skim Khairat Kifalah Kerajaan Negeri Kelantan.
Bermula Februari 2007 hingga November 2024, jumlah tuntutan kematian seramai 80,111 orang daripada 216,515 orang yang berdaftar dengan implikasi kewangan sebanyak RM118.16 juta.
0 Comments