Oleh Aslani M |
BANGKOK: Bahasa
Melayu bukan sahaja menjadi perantaraan utama di Selatan Thailand, sebaliknya
ia menjadi perhubungan utama di nusantara.
Jumlah penutur bahasa Melayu di nusantara meliputi Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand dan Singapura dianggar lebih 290 juta orang.
Malah, bahasa Melayu disenaraikan sebagai salah satu bahasa utama dunia, iaitu berada dalam senarai 10 bahasa teratas yang paling kerap digunakan.
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, jumlah penutur bahasa Melayu bukan kecil kerana ia menjadi bahasa utama di dunia.
Katanya, bahasa Melayu bukan sekadar dipertutur di empat wilayah di Selatan Thailand, sebaliknya di seluruh nusantara.
Kata beliau adalah amat malangnya sekiranya masih ada orang Melayu yang tidak mampu menguasai bahasa ibunda mereka sendiri.
“Datuk nenek kita orang Melayu jadi kita kena mempertahankan bahasa ibunda supaya tidak lapuk ditelan zaman.
“Ibu bapa kena bercakap menggunakan bahasa Melayu dengan anak-anak di rumah setiap hari bagi membolehkan mereka menguasai bahasa ibunda,” katanya pada himpunan Alumni Kelantan di Masahhat Ud-Deen School II di sini kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Adun Pantai Irama, Haji Huzaimy Che Hussin; Adun Chetok, Zuraidin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan, Dato’ Sr Zamri Ismail.
Selain itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Nazmi Ghazali Azmi; Pegawai Khas Menteri Besar, Dato’ Abdullah Ya’kob; pemimpin NGO di Bangkok, Che Nordin Che Hussin dan Mudir Masahhat Ud-Deen School Ustaz Omar Hamdan.
Alumni Kelantan
Perhimpunan tersebut dihadiri bekas-bekas pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di Kelantan termasuk bekas pelajar Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu Ustaz Ayub Mahmood.
Menteri Besar juga berkata, orang Melayu jangan lupa bahasa mereka sendiri biarpun di mana sahaja tinggal.
“Begitu juga orang Melayu yang tinggal di Kota Bangkok boleh belajar bahasa Melayu dan Arab melalui pembelajaran kitab jawi serta Arab di masjid-masjid.
“Melalui pembelajaran kitab-kitab jawi membolehkan penduduk Melayu yang tingal di Bangkok memahami bahasa Melayu, di samping bahasa Arab.
“Orang yang menuntut ilmu Allah Taala angkat sebanyak 700 darjat. Kepentingan ilmu dan bahasa dapat dilihat apabila Nabi Sulaiman boleh memahami bahasa semut,” ujarnya.
Malah, menurutnya bahasa merupakan anugerah daripada Allah Taala buat umatnya yang dilahirkan dengan bangsa yang berbeza.
Kata beliau juga umat Islam digalak belajar bahasa lain, di samping jangan lupa mempertahankan bahasa sendiri.
“Saya sedia memberi peluang anak-anak orang Melayu yang tinggal di Bangkok mendalami bahasa Melayu dan agama di sekolah di bawah kerajaan negeri di aKelantan,” tambahnya.





0 Comments