M FAQIH
TIDAK dapat dinafikan lagi kekuatan kerajaan Madani sekarang ditunjangi DAP. Jelas bukannya PKR, Umno atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai abang besar.
Ukuran itu berdasar jumlah kerusi parlimen dimiliki DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Pada PRU-15 DAP menguasai 40 kerusi parlimen, iaitu kedua terbanyak selepas PAS dengan 49 kerusi.
Elok kita belek sejarah parti itu. DAP pernah memperjuangkan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ selepas diilhamkan pengasas People Action Party (PAP), Lee Kuan Yew. Malah, slogan itu diteruskan sehingga sekarang biar pun ada penafian dibuat sebelum ini.
Buktinya kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pada September 2023. Katanya tiada keperluan parti itu menggugurkan slogan Malaysian Malaysia (Sinar Harian).
Daripada 82 Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) hampir separuh dikuasai DAP. Ini bermakna kekuatan DAP dalam kerajaan Madani tidak dapat dinafikan.
Malah, sebelum PRU-15 seorang pemerhati politik dan penulis buku Dr Bam Al-Haj mengajak orang Melayu bersatu sokong PH. Dengan itu katanya, kerusi Melayu dalam PH akan bertambah. DAP maksimum bertanding 42 kerusi.
“Jika Melayu ingin menjadi kuat dalam PH, mereka perlu menangkan 100 kerusi Melayu, barulah Melayu kuat,” katanya seperti dilapor sebuah portal.
Apakah betul Melayu tambah kuat apabila berpadu di bawah PH? Ramai cuak dengan hujah seperti itu.
Malaysian Malaysia
Untuk berlaku adil wajar kita kongsi kajian Rizal Yaakop (2011) yang memperincikan konsep ‘Malaysian Malaysia’ diperjuangkan PAP semasa bersama Malaysia.
Hujahnya slogan tersebut masih diteruskan DAP, di mana gagasan itu mencabar konsep ketuanan Melayu dan negara Islam yang diperjuangkan Umno dan PAS.
Ekoran ramai curiga terhadap perjuangan DAP, parti berkenaan dikatakan mengubahsuai gagasan ‘Malaysian Malaysia’ kepada Malaysia Diutamakan dan Malaysia Pertengahan.
Malah, seorang sarjana Chin Wei Yee yang mengkaji sejarah perkembangan konsep ‘Malaysian Malaysia’ menyifatkan tema utama PAP dipelopori Lee Kuan Yew ditafsir sebagai menurunkan taraf bumiputera.
Berpangkal slogan itulah Tunku Abdul Rahman terpaksa memberi kemerdekaan kepada Singapura. Jelaslah kempen ‘Malaysian Malaysia’ menjadi faktor penting membawa pemisahan Singapura daripada Malaysia.
Peluang kemerdekaan membolehkan Kuan Yew mengamalkan pemerintahan ‘authoritarian’ di Singapura pada awalnya bagi membanteras komunis secara agresif.
Dasar itu juga membantu Kuan Yew mencapai 100 peratus kemenangan setiap kali pilihan raya Singapura sejak tahun 1968-1984. Kemerosotan PAP hanya dapat dikesan selepas kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Hong Lim dan Anson.
Kuasai negeri
Dan hari ini slogan itu masih diteruskan DAP. Kekuatan DAP juga dapat dilihat apabila menguasai 88 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara pada PRU lepas.
DAP menang 15 kerusi di Selangor, Pulau Pinang (19), Perak (18), Negeri Sembilan (11), Kedah (1), Pahang (6), Sabah (6), Sarawak (2) dan Johor (10).
DAP berkubu di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor. PH bertapak di Pahang melalui DAP apabila memenangi Dun Tanah Rata, Tras, Triang, Mentakab, Bilut dan Ketari. Manakala PKR menang di Semambu dan Teruntum.
Pada PRU lepas PH menguasai lapan kerusi Dun di Pahang, di mana hampir kesemua didominasi DAP. Perikatan Nasional (PN) pula menang 17 kerusi dan Barisan Nasional (16).
Malangnya, Umno lebih berminat memilih DAP (PH) bagi membentuk kerajaan di Pahang. Hari ini sedikit demi sedikit ketuanan Melayu di negeri itu dicabar. Antaranya isu pekebun durian dan sayur ceroboh tanah kerajaan di Raub, Bentong dan Cameron Highlands.
Malah, tidak dapat dinafikan kondisi kegelisahan rakyat dapat dilihat sepanjang 22 bulan pertama DAP berada dalam kerajaan PH selepas menang PRU-14.
Pada akhir Mei 2019 seorang pemimpin DAP di Perak dilapor melanggar titah Sultan Perak, melarang masjid sebagai gelanggang bagi mendapat laba politik.
Pemimpin DAP terbabit dikatakan hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Assadah, Kampung Bahagia Hilir Perak tanpa kebenaran jawatankuasa masjid.
Turut dilaporkan sepanduk perkataan Harapan direntang di kawasan masjid.
Menteri terkaya
Media pada 2 November 2018 melaporkan Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) memiliki pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM86,464. Pendedahan itu terkandung dalam mydeclaration.sprm.gov.my.
Pada 16 Oktober 2018 media mendedahkan Umno Pulau Pinang terkejut hasrat Kementerian Pendidikan membina sebuah lagi sekolah jenis kebangsaan Cina di Bandar Cassia, Batu Kawan.
Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir tampil bersuara kerana peruntukan untuk menambah baik masjid dan kelas agama di negeri itu ditangguh kerajaan PH biarpun sudah dilulus kerajaan BN.
Bagi penganalisis politik tempatan Yusri Yusof, umat Islam tidak akan mampu bangkit dan tegak berdiri mempertahankan bangsa dan tanah air jika mereka menganut isme lain daripada Islam.
“Keadaan itu akan menjerumus umat Islam dalam suasana kekeliruan identiti sama ada seorang Muslim sosialis atau Muslim demokrat, apatah lagi Muslim komunis. Sedangkan pihak lawan solid pegangannya dengan isme tersebut.
“Umat Islam hanya akan berjaya apabila mereka berpegang sepenuhnya dengan Islam dan tidak menjadikan isme lain sebagai aqidah perjuangan,” ujarnya.
Jesteru itu apakah hujah Dr Bam Al-Haj yang mengajak orang Melayu bersatu sokong PH benar-benar memberi sinar baharu? Jelas ia tidak kelihatan.
Maka peluang terbaik pengundi di Dun Ayer Kuning Tapah Perak mencorak semula politik negara pada 26 April ini. Tanggungjawab itu dipikul 19,574 pengundi Melayu di Dun terbabit.
Mereka boleh mengguatkan lagi suara pembangkang dengan menambah satu lagi kerusi Dun untuk membentuk 27 kerusi. Dan sekiranya teori itu berlaku jumlah kerusi PH-BN akan berkurang kepada 32.
Dengan perbezaan lima kerusi Dun, kerajaan PH-BN akan tinggal nyawa-nyawa ikan. Inilah masa terbaik.
0 Comments