Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN ANJUR LIMA BENGKEL PULIHKAN ENAKMEN SYARIAH YANG DIBATALKAN

YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 10 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperjuangkan pelaksanaan undang-undang syariah yang sah dan seimbang, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menganjurkan lima sesi bengkel dan perbincangan teknikal bagi merangka pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lalu.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mengembalikan semula 16 seksyen yang telah dibatalkan oleh mahkamah.

"Sebanyak lima bengkel telah diadakan setakat ini sebagai langkah memperkukuh draf enakmen dengan penambahbaikan serta perincian yang lebih wajar dan menyeluruh.


"Kita sedang giat menyemak dan meminda kandungan enakmen agar dapat dibentangkan semula dalam sidang Dewan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Julai depan," katanya dalam kenyataan menerusi laman sosialnya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang berlangsung di MABNA, Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Penasihat Undang- Undang Negeri Kelantan YB Dato’ Idham Abdul Ghani, Timbalan Exco YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Mufti Kerajaan Negeri Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Enakmen YB Wan Rohimi Wan Daud, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan Dato' Ibrahim Deris serta Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan Mohd Hafiz Daud.

Menurut YB Mohd Asri, dua jawatankuasa khas telah ditubuhkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek perundangan dan syarak dalam usaha menggubal semula enakmen yang relevan serta sah dari sudut perlembagaan.


Untuk rekod, pada Mac 2024, DUN Kelantan meluluskan usul bagi menggubal semula 16 seksyen dalam enakmen berkenaan selepas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan sebahagian peruntukannya terbatal dan tidak sah.

Keputusan tersebut dibuat susulan petisyen yang difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Post a Comment

0 Comments