![]() |
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah |
KOTA DARULNAIM, 9 April- Kerajaan Negeri Kelantan melalui mesyuarat Exco meluluskan peruntukan khas kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi penangkapan haiwan rayau terutama lembu bagi mengelakkan kemalangan melibatkan haiwan tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, peruntukan tersebut diluluskan supaya PBT akan memperhebatkan lagi operasi tersebut.
"Jumlah peruntukan khas tersebut bergantung kepada keperluan PBT masing-masing. Kalau di Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Pasir Mas memerlukan lebih banyak peruntukan berbanding PBT lain.
"Dalam menjalankan operasi menangkap lembu rayau ini, kos untuk membeli ubat pelali memerlukan belanja yang besar".
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di MABNA, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Memperhalusi tentang kawasan yang membolehkan PBT menangkap haiwan rayau ini, beliau berkata, haiwan tersebut boleh ditangkap sekiranya berkeliaran di sepanjang jalan utama seperti jalan dari Gua Musang ke Kota Bharu, taman awam dan taman permainan dalam kawasan perumahan.
Menurut YB Hilmi lagi, haiwan ternakan yang ditangkap akan disita dan PBT akan mengeluarkan notis supaya dituntut dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
"Semasa tuntutan dibuat, pemilik haiwan tersebut akan dikenakan kompaun dan juga kos penjagaan, kerja lebih masa petugas, makanan haiwan ternakan dan ubat pelali jika diperlukan.
"Denda maksimum adalah RM2000. Sekiranya pemilik haiwan tersebut tidak membuat tuntutan dalam tempoh yang ditentukan, PBT akan membuat pelupusan melalui lelongan", ujarnya.
Tambah beliau lagi, semasa musim perayaan baru-baru ini, semua PBT diarahkan menjalankan operasi menangkap lembu rayau yang merayau di tepi jalan yang boleh menyebabkan berlaku kemalangan.
"Alhamdulillah semasa operasi dijalankan iaitu seminggu sebelum menjelang hari raya, hanya satu kemalangan yang berlaku melibatkan lembu rayau, namun tiada kematian.
"Walau bagaimanapun, dalam jam satu pagi ini berlaku satu kemalangan maut melibatkan seorang pelajar cemerlang yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila terlanggar lembu di hadapan Perumahan Halaman Firdaus di KM 7, jalan Gua Musang ke Kuala Krai", tambah YB Hilmi lagi.
0 Comments