Ticker

6/recent/ticker-posts

HOTEL RENAI KOTA BHARU CIPTA REKOD KEBANGSAAN TERIMA MBOR



Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 10 April – Hotel Renai Kota Bharu mencipta rekod nasional sebagai pemangkin kepada inovasi hospitaliti yang berteraskan nilai tempatan apabila merangkul tiga pengiktirafan dalam Malaysian Book of Records menerusi penganjuran program berbuka puasa Ramadan 2025 yang luar biasa.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor pada Isnin.

Tiga kategori yang diiktiraf ialah "Largest Iftar Gathering in a Hotel", "Most Dishes Served at a Hotel Ramadan Buffet", dan "Longest Indoor Street Food Stalls in a Hotel", sekali gus memperkukuh jenama Hotel Renai sebagai destinasi hospitaliti bertaraf tinggi di pantai timur.

YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

Dalam kenyataannya menerusi laman media sosial rasmi, YB Datuk Kamarudin mengucapkan syabas atas kejayaan luar biasa tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian membanggakan buat industri pelancongan negeri Kelantan.

“Syabas dan teruskan kecemerlangan. Usaha sebegini bukan sekadar memberi impak kepada sektor pelancongan, bahkan turut menyemarakkan nilai budaya serta warisan negeri dalam suasana penuh harmoni dan kemeriahan Ramadan,” tulisnya.

YB Datuk Kamarudin turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Hotel Renai yang berjaya mentransformasi pengalaman berbuka puasa ke tahap lebih tinggi melalui kepelbagaian sajian, layanan bertaraf profesional serta elemen kebersamaan yang cukup dirasai.

“Tahniah kepada pihak pengurusan Renai Hotel yang berjaya mengangkat pengalaman berbuka puasa bukan sahaja dari sudut penyediaan makanan, tetapi juga suasana dan nilai kebersamaan yang sangat dirasai,” katanya.

Nik Adura Zuliana, Pemangku Pengurus Besar Hotel Renai Kota Bharu

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Renai Hotel Kota Bharu Nik Adura Zuliana Dato' Nik Abdul Rashid pula berkata pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records tahun ini sebagai satu peringatan indah tentang keberkatan bulan Ramadan.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen kami dalam mencipta pengalaman yang bermakna melalui komuniti, budaya dan sajian yang lazat.

"Bermula dengan penganjuran iftar terbesar di hotel, penyediaan hidangan terbanyak, sehinggalah penciptaan lorong makanan tertutup terpanjang, acara ini membantu Renai Hotel mencatat pelbagai rekod baharu,” ujarnya.

“Pasukan kami merealisasikannya dengan mewujudkan suasana yang meriah serta lorong makanan yang luar biasa. Kami menanti kunjungan para tamu ke acara akan datang untuk sama-sama mencipta lebih banyak memori indah,” tambahnya.

Pihak pengurusan hotel turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk tetamu dan komuniti setempat yang menyokong dan memeriahkan penganjuran program berbuka puasa berskala besar tersebut.




Post a Comment

0 Comments