Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN MAHU JADIKAN SUKMA 2028 PERINTIS SUKAN MESRA ISLAM

YB Zamakhshari Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 17 April – Kelantan bercadang menjadikan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 sebagai perintis kepada pelaksanaan konsep Sukan Mesra Islam bersempena pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah temasya sukan berprestij tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, Persidangan Meja Bulat Siri ke-2: Pelaksanaan Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan merupakan medan ilmiah dan strategik dalam membentuk hala tuju baharu sukan negeri berteraskan nilai-nilai Islam.

“Persidangan ini adalah sebagai satu usaha kerajaan negeri untuk meneraju perubahan dalam industri sukan di tanah air.

“Ia menghimpunkan pembentang, fasilitator dan juga peserta daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dalam isu sukan mesra Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sesi Fokus Sidang Meja Bulat

Diskusi yang menghimpunkan pelbagai pemikiran dan pandangan konstruktif ke arah menggubal dasar sukan yang menyeluruh, seiring prinsip syariah dan sensitiviti budaya setempat itu berlangsung di sebuah hotel di Tunjung, hari ini.

Beliau optimis persidangan berkenaan berperanan sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan menyeluruh dasar sukan mesra Islam menjelang penganjuran SUKMA 2028, sekali gus memperkukuh komitmen Kelantan dalam menterjemah strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam ke dalam sektor sukan tanah air.

Sementara itu, Pengarah Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik Pejabat Menteri Besar Kelantan (SPARK), Dr. Mohd Huzairi Husain yang mengetuai delegasi Panel Pakar Rujuk Pembangunan Dasar memaklumkan pihaknya telah pun mengadakan kunjungan ke Pejabat Mufti Negeri Kelantan pada Rabu lalu bagi mendapatkan panduan dan nasihat syariah berkaitan garis panduan Islam dalam sukan.

“Antara panel pakar yang hadir dalam kunjungan semalam ialah Professor Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof. Dr. Abdul Halim Mokhtar, Professor Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Prof. Dr. Ishak Suliaman, Dr. Norazam Khair Mohd Ithnin, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Sukan dan Eksesais Universiti Malaya Dr. Mohd Naufal Yunos.

Kredit foto Media SPARK

“Sarjana ini juga yang mengetuai Sesi Fokus hari ini yang melibatkan kumpulan atlet dan pasukan sokongan sukan renang, gimnastik, terjun, basikal dan lumba lari, dengan penekanan terhadap kepelbagaian etnik dalam pelaksanaan dasar,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis perasmian persidangan.

Tambahnya, Kelantan mahu menjadi negeri perintis dalam memperkenalkan budaya sukan yang mesra Islam sebagai satu model kepada pemain industri sukan negara.

“Kelantan mahu mencadangkan satu pilihan kepada atlet Muslim untuk membudayakan amalan bersukan yang mesra Islam," katanya.

Post a Comment

0 Comments