Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 17 April – “Kerajaan memberi geran untuk diusahakan, bukan untuk dijual,” demikian peringatan tegas Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud kepada para penerima geran hak milik tanah di Pasir Puteh, hari ini.
Beliau menegaskan, pemberian geran tanah oleh kerajaan negeri adalah satu bentuk bantuan dan tanggungjawab sosial kepada rakyat yang meneroka tanah kerajaan, namun semangat tersebut akan terbatal jika tanah berkenaan kemudiannya dijual.
“Kerajaan memberi geran kepada pemilik supaya mereka mengusahakan tanah tersebut jika tanah tersebut merupakan tanah lot pertanian. Jika lot bangunan, buatlah rumah dan jangan jual.
“Hasrat kerajaan bagi tanah adalah untuk membantu, tetapi kalau kita teroka tanah kerajaan dan dapat geran, tanah itu dijual, jadi ia tidak mencapai hasrat kerajaan untuk membantu,” katanya dalam Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah sempena Lawatan Kerja ke Jajahan Pasir Puteh dan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pada majlis tersebut, seramai 30 peneroka tanah kerajaan di jajahan terbabit menerima geran masing-masing.
Tambahnya, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa sebarang penjualan tanah yang sudah bergelar hak milik hanya boleh dilakukan selepas tempoh sepuluh tahun.
“Itupun masih ada yang buat permohonan kepada Exco untuk menjual dengan pelbagai alasan, namun kita tolak permohonan tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, penerima yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas keprihatinan menyelesaikan status pemilikan tanah mereka.
Zairul Azhar dari Kampung Permatang Sukai, yang mewakili Allahyarham bapanya yang meneroka tanah sejak 30 tahun lalu.
“Alhamdulillah dan gembira sangat-sangat apabila menerima geran hari ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan," ujarnya.
Seorang lagi penerima, Asiah Awang Teh dari Kampung Banggol Stol berkata, beliau mewakili arwah abangnya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas penyampaian geran.
"Alhamdulillah setelah 20 tahun, akhirnya dapat geran hari ini, ” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dato' Mohd Nassuruddin memaklumkan bahawa pembinaan prasarana strategik itu akan memberi manfaat besar dari segi pengangkutan dan mobiliti rakyat.
“Dengan siapnya projek ini akan dapat menjimatkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur iaitu memakan masa empat jam sahaja.
“Jadi perjalanannya selesa dan selamat, kerana mengikut satu kajian, kereta api adalah kenderaan yang paling selamat berbanding dengan kenderaan lain sama ada udara mahupun darat,” ujarnya.
Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan menerima taklimat pembangunan jajahan daripada Ketua Jajahan Kamaruzaman Abdul Wahab.
Lawatan diteruskan ke Stesen ECRL Pasir Puteh dan beliau menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ahli Parlimen Pasir Puteh,YB Dato' Dr Nik Zawawi Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Dato’ Sri Darwis Abdul Razak dan Ahli-ahli Dewan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
0 Comments