![]() |
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan terus berganding bahu menyantuni golongan petani dan nelayan melalui pelbagai bentuk bantuan, khususnya bagi mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara bantuan utama ialah peruntukan tunai sebanyak RM18.98 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada pesawah yang terjejas.
“Melalui Tabung Bencana bagi sektor penternakan dan akuakultur, sejumlah RM563,930 telah diagihkan kepada 61 penternak yang terjejas,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Husin dalam Persidangan Kali Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan ke-15, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Program Usahawan Tani Al-Falah telah memperuntukkan RM1.35 juta untuk pembangunan pertanian fertigasi, sayur-sayuran serta penternakan.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan kursus keusahawanan tani, elaun sara hidup, serta subsidi diesel kepada para petani dan penternak bagi meningkatkan kapasiti dan kelangsungan usaha tani mereka,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan memperkasakan agro-pelancongan, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sedang giat mempromosi serta menambah baik fasiliti dan kemudahan di kawasan pertanian yang berpotensi.
“Antara kawasan tumpuan ialah Jeram Mengaji, Danau Tok Uban dan Rong Chenok yang kini dikenal pasti sebagai destinasi agro-pelancongan berdaya maju,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan sektor swasta dalam membangunkan kawasan agropelancongan baharu mahupun memperkukuh tarikan sedia ada.
0 Comments