![]() |
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 22 April – Satu kertas cadangan Jaringan Mahabbah Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Persekutuan telah dibuat dan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil dalam kunjungan hormat ke pejabat beliau di Putrajaya pada 5 Ogos yang lalu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.
Jelas beliau, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut, pertama ialah untuk mewujudkan jaringan mahabbah dan professional penerangan melalui hubungan dua hala agensi penerangan Persekutuan dan Negeri.
“Kedua mewujudkan sinergi perkongsian kepakaran melalui bengkel, mesyuarat, penganjuran program bersama dalam aktiviti sosial yang melibatkan kedua-dua pihak dan seterusnya memohon agar diberi ruang media dan liputan radio serta televisyen kepada pimpinan kerajaan negeri terutamanya melibatkan YAB Menteri Besar Kelantan untuk bersiaran sama ada secara langsung atau rakaman di platform penerangan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, hasil hubungan federalisme itu, YAB Menteri Besar Kelantan telah bersiaran di Radio Kelantan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu dan Insya-Allah akan diteruskan pada program-program yang lain.
Beliau yang juga ADN Demit berkata, setiap tahun, kerajaan negeri melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) akan mengadakan malam bersama media yang bertujuan menghimpun dan meraikan petugas- petugas media arus perdana dan negeri selain membuka ruang komunikasi dua hala bagi menyampaikan maklumat semasa.
“Pada 12 Februari 2025 yang lalu, program jalinan mahabbah rakan- rakan media bersama pimpinan Kerajaan Negeri telah berjaya menghimpunkan seramai 72 orang petugas media termasuk yang datang dari luar Kelantan seperti Pengurus Besar dan Pengurus Operasi Manis FM, Pengarang Sinar Harian dari Shah Alam, Eksekutif Pemasaran Media Prima dan Ketua Bahagian Berita IKIM FM,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN telah bersetuju untuk menganjurkan program sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada setiap 29 Mei untuk diadakan program secara besar-besaran dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) bertempat di Kuala Lumpur pada Mei nanti.
0 Comments