Oleh: Shuhada Hadzri
KOTA BHARU, 20 April - 71 rombongan dari komuniti Cina Kampung Ayer Kuning, Perak melahirkan rasa teruja sepanjang menyertai lawatan ke Kelantan yang memberi mereka peluang merasai sendiri suasana kehidupan harmoni dan toleransi antara kaum di negeri ini .
Wakil rombongan, Chow Zhi Yeng, 26, menyifatkan lawatan tersebut sebagai satu pengalaman berharga yang membuka matanya tentang realiti sebenar kehidupan masyarakat berbilang kaum di Kelantan.
“Terus terang saya katakan, sebelum datang ke sini, saya sendiri tidak tahu bahawa di Kelantan, masyarakat bukan Islam masih boleh membeli daging khinzir secara terbuka, dan mereka yang bukan beragama Islam masih boleh mengambil minuman keras mengikut undang-undang yang sedia ada.
"Ini adalah sesuatu yang membuka mata saya tentang realiti keharmonian dan toleransi di negeri ini,” katanya ketika taklimat bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan jamuan makan tengahari di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, hari ini.
![]() |
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad |
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan semua kaum mendapat perhatian yang saksama menerusi pelbagai inisiatif.
Menurutnya, seramai 76 Penghulu Wakil Kaum telah dilantik di setiap DUN bagi mewakili suara pelbagai komuniti di negeri ini.
Tambahnya, bantuan kebajikan seperti Al- It'aam (sumbangan beras), sumbangan untuk anak muda Skim Az-Ziwaaj (bantuan perkahwinan), Skim Takaful Kifaalah (kematian) turut disediakan untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berkongsi pandangannya mengenai suasana perpaduan yang telah lama terbina di negeri ini.
![]() |
Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan |
Menurut beliau, walaupun Kelantan hanya mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk, negeri ini dihuni oleh pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Siam, Sikh dan orang asli yang hidup dalam suasana saling memahami dan menghormati.
“Di Malaysia kita laungkan 1 Malaysia, tapi di Kelantan, kita hidup sebagai 1 Kelantan. Masyarakat di sini ibarat satu keluarga – makan bersama, berniaga bersama dan berkongsi ruang hidup tanpa masalah,” katanya.
“Minuman keras dan makanan seperti bak kut teh tetap dibenarkan, asalkan di tempat yang berlesen dan khas untuk mereka yang bukan Islam kerana itu semua adalah hak mereka,” jelasnya.
Manakala Toh Tan Choon Boon, 17, yang juga pertama kali ke Kelantan, juga kagum melihat kepelbagaian budaya serta tempat-tempat menarik di sini.
0 Comments