Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN TUBUH MAJLIS PEMBANGUNAN HALAL NEGERI KELANTAN

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Mohd Asri Mat Daud

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 20 April – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan penubuhan Majlis Pembangunan Halal Negeri Kelantan bagi tahun ini.

Penubuhannya ialah sebagai langkah menyelaras pembangunan industri halal bersama rakan strategik dan menjayakan agenda industri halal negeri.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, sebuah jawatankuasa induk telah dibentuk dan mesyuarat pertama dijangka diadakan pada April.

“Jawatankuasa induk bagi Majlis Pembangunan Halal ini baru sahaja dibentuk dan akan mengadakan mesyuarat sulung dalam masa terdekat.


"Tujuan utama penubuhan majlis ini adalah bagi menyelaraskan segala perbincangan, kajian serta penyelidikan berkaitan halal termasuk logo dan pensijilan halal,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerjasama strategik akan dijalinkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC), Pusat Halal KIAS (KIAS HAC), Pusat Halal JAHEAIK dan lain-lain agensi berkaitan dalam memperkukuh ekosistem halal di Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Halal KIAS di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan pusat tersebut, YB Mohd Asri berkata, inisiatif itu akan memperkemas dan menyusun strategi pembangunan industri halal dengan lebih sistematik dan berfokus.


“Pusat Halal KIAS bersama Pusat Halal JAHEAIK telah menjalinkan kerjasama dalam aktiviti promosi, taklimat dan pendidikan kepada masyarakat berkenaan kepentingan industri halal.

“Kedua-dua pusat halal yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri Kelantan ini berperanan sebagai konsultan percuma terbaik untuk para usahawan dan pemain industri mendapatkan maklumat, bimbingan dan khidmat nasihat berkenaan halal,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar pihak KIAS melalui tenaga akademiknya dapat memainkan peranan sebagai ‘duta halal’ dalam memberikan kefahaman menyeluruh kepada masyarakat, khususnya kepada golongan usahawan agar mereka mengutamakan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam urusan perniagaan masing-masing.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato’ Sr. Zamri Ismail, Rektor KIAS Prof. Dr. Mazlan Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Halal JAHEAIK Anuar al-Sadat Noor.

Post a Comment

0 Comments