Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Mejar Dato' Md Anizam Ab Rahman
Kredit foto: FB YB Mejar Dato' Md Anizam Ab Rahman
KOTA DARULNAIM, 21 April — Sabut kelapa yang dahulunya dianggap bahan buangan, kini menjadi komoditi bernilai tinggi dalam industri pembuatan moden.
Bahan tersebut digunakan secara intensif khususnya bagi pembuatan tilam dan produk berasaskan serat seperti fiber dan cocopeat.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Sumber Manusia Negeri Kelantan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, sebuah kilang pemprosesan sabut kelapa yang telah beroperasi sejak tahun 2007 di Tawang, Bachok kini menjadi antara penyumbang utama kepada rantaian industri sabut kelapa negara.
“Kilang ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, malah turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti setempat melalui pembekalan bahan mentah,” katanya.
Namun begitu, ujar beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengusaha kilang berdepan kekurangan bekalan sabut kelapa secara berterusan, sehingga terpaksa mendapatkan bekalan dari luar Kelantan, termasuk dari luar negara bagi menampung permintaan pasaran yang terus meningkat.
Beliau menyatakan demikian menerusi satu hantaran di media sosial rasminya pada Ahad.
Mengulas lanjut, YB Dato’ Md Anizam berkata, menyedari potensi besar yang dimiliki industri berasaskan sabut kelapa, Kerajaan Negeri Kelantan kini sedang merangka satu pelan tindakan komprehensif bersama kementerian berkaitan bagi meningkatkan pengeluaran sabut kelapa di dalam negara.
“Langkah ini diharap dapat memastikan bekalan yang mencukupi untuk industri tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber import,” jelasnya lagi.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan sabut kelapa, HK Fibre Sdn Bhd, yang terletak di Kampung Kemayang, Tawang, Bachok bagi meninjau sendiri operasi dan cabaran yang dihadapi oleh pihak industri.
0 Comments