Ticker

6/recent/ticker-posts

KEMAJUAN PEMBINAAN ECRL DI KELANTAN CAPAI 88.86 PERATUS


Oleh: Asri Hamat

PASIR PUTEH, 18 April – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan kini mencatat kemajuan kerja 88.86 peratus.

Ini menandakan pencapaian tertinggi dalam keseluruhan jajaran, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa projek mega itu akan siap mengikut jadual pada penghujung 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata, secara keseluruhan pembinaan laluan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor telah mencapai tahap 81.07 peratus setakat Mac 2025.

"Kemajuan projek ECRL secara keseluruhan kini mencecah 81.07 peratus. Di Kelantan sahaja, kerja-kerja pembinaan telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan pencapaian 88.86 peratus," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Penyampaian Geran Hak Milik Tanah di Madrasah Ihya’ Ulumuddin, Selising, sempena lawatan kerja Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ke jajahan Pasir Puteh dan stesen ECRL Pasir Puteh pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dato’ Sri Darwis menyifatkan kerjasama erat yang diberikan oleh kerajaan negeri dan masyarakat setempat sebagai pemangkin utama kejayaan projek di Kelantan.

"Sejak saya mengetuai projek ini pada tahun 2017, jajaran di Kelantan tidak pernah menghadapi sebarang isu besar. Walaupun panjangnya hanya 43.3 kilometer, namun kelancarannya amat luar biasa berbanding negeri lain.

"Ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan penuh daripada kerajaan negeri serta penduduk kampung yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung,” jelasnya.

Projek ECRL yang bernilai RM50.2 bilion itu kini memasuki tahun kelapan pelaksanaannya sejak dimulakan pada 2017.

Dalam satu kenyataan media MRL sempena lawatan kerja Menteri Besar ke tapak projek ECRL di Cherang Tuli, dimaklumkan bahawa dua stesen utama di negeri ini – Stesen Kota Bharu dan Stesen Pasir Puteh – dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2026.

Menurut kenyataan itu, Stesen Pasir Puteh yang dibina di atas tanah seluas 16.98 hektar menampilkan konsep seni bina berteraskan warisan negeri.

"Konsep 'Tanjak Agong' dipilih sebagai simbol perpaduan dan kedaulatan negara, manakala elemen reka bentuk stesen mengetengahkan seni dan budaya Kelantan menerusi motif dan elemen tempatan," menurut kenyataan tersebut.

Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk tempat letak kereta, laluan pejalan kaki berbumbung, kawasan ambil dan turunkan penumpang serta pusat kitar semula, selaras dengan matlamat menjadikan ECRL sebagai sistem pengangkutan moden yang mesra pengguna dan lestari.

Post a Comment

0 Comments