Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, PAS Johor akan terus bergerak selaras dengan segala ketetapan dan keputusan rasmi parti.
Katanya, PAS Johor mengambil maklum intipati mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS yang menyerahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk menentukan hala tuju kerjasama dengan Bersatu.
“Sehubungan itu, seluruh pimpinan, ahli dan jentera PAS Johor diharap bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi dan bersabar menunggu ketetapan rasmi yang akan diputuskan Jawatankuasa PAS Pusat 8 Jun ini,” katanya pada kenyataan.
Semalam Majlis Syura Ulamak PAS menzahirkan kebimbangan terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, Majlis Syura Ulamak menyerah mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti tersebut.
Katanya, keputusan itu dicapai selepas meneliti laporan terperinci pimpinan PAS Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian pakar-pakar penyelidik berhubung perkembangan politik mutakhir.
“Majlis Syura Ulamak PAS mengambil perhatian serius terhadap krisis dalaman Bersatu yang boleh memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap PN dalam membawa agenda penyatuan ummah.
“PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendokong agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya.



0 Comments