SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Lapan bas elektrik bernilai RM1.4 juta sebuah akan memulakan operasi di Kelantan secara rasmi pada 1 Julai ini.
Bas berkenaan yang akan dikendalikan Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) untuk perkhidmatan henti-henti di negeri itu.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, Kelantan menjadi negeri pertama di Pantai Timur akan menggunakan bas elektrik.
Katanya, perkhidmatan yang dikenali sebagai Bas.My Kota Bharu itu menawarkan empat laluan di sekitar bandar tersebut.
Laluan terbabit iaitu Kota Bharu-Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra-Sabak, Kota Bharu-Panchor-Kemumin-Sabak, Kota Bharu-Pengkalan Chepa dan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan.
"Kadar tambang yang dikenakan sama dengan perkhidmatan sedia ada seperti ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya pada sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Konsortium E-Mutiara Berhad di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Che Ibrahim juga berkata, bas tersebut akan menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun kata beliau mereka perlu berdaftar dengan E-Mutiara sebanyak RM10 untuk menikmati kemudahan itu seumur hidup.
"Bagi pelajar sekolah penggunaan itu hanya terpakai semasa hari persekolahan sahaja dan mereka perlu memakai pakaian seragam. Manakala pelajar institut pengajian tinggi mereka perlu menunjukkan kad pelajar," ujarnya.
Manakala bagi OKU dan warga emas mereka perlu menunjukkan kad pengenalan atau kad pengesahan pendaftaran sahaja.
0 Comments