![]() |
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 23 April – Kes-kes gejala sosial dalam kalangan pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) adalah sangat minima berbanding dengan sekolah-sekolah lain.
Ini adalah kerana Negeri Kelantan amat menitik beratkan pendidikan berteraskan Islam yang menjadi tunjang pembinaan sahsiah pelajar.
“Inilah kekuatan utama sistem pendidikan di bawah seliaan YIK melalui pendekatan yang menekankan aspek tarbiah, penghayatan agama dan pembentukan akhlak.”
Demikian menurut EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat ketika membuat penggulungan perbahasan titah ucapan perasmian Pembukaan Persidangan Kali Yang Pertama Dewan Negeri Kelantan Yang Ketiga, Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas, hari ini.
“Pelajar YIK keseluruhannya ada tujuh jenis aliran iaitu bermula dengan Maahad Tahfiz, Maahad Kawalan, Pengajian Pondok, Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Rendah Ugama (SRU) dan tadika.
Kesemuanya berjumlah 30,685 orang pelajar termasuk pelajar dari luar negeri. Jika dibandingkan dengan kadar kelahiran Kelantan iaitu 30,000 bagi setiap peringkat iaitu dari darjah 1 hingga 6 dan dari tingkatan 1 hingga 6 yang menjadikan jumlah keseluruhannya adalah kira-kira 360,000 pelajar, peratusan pelajar yang bersekolah YIK hanyalah 8.5 peratus sahaja,” jelasnya.
Namun begitu, katanya, pelajar YIK dapat mendominasi pelajar terbaik di seluruh negara dengan pencapaian 20A, 18A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga cemerlang dalam kokurikulum dengan sering kali menjuarai kejohanan sukan di sekolah-sekolah agama di seluruh Malaysia.
Mengulas berkenaan isu gejala sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar YIK, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik, contohnya melaksanakan Dasar Pendidikan Rabbani (DPRK) dalam kalangan pelajar YIK yang menerapkan pendidikan berasaskan ketuhanan sekaligus menjadikan pelajar terdidik dengan akhlak mulia.
0 Comments