![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
KOTA DARULNAIM, 24 April – Perkembangan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Kelantan memasuki fasa baharu apabila Pihak Berkuasa Negeri meluluskan permohonan Tenemen Mineral Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi pelaksanaan perlombongan sumber mineral strategik tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri turut meneliti potensi penubuhan kilang pemprosesan NR-REE sebagai langkah memperkukuh rantaian nilai industri berkenaan di negeri ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Mengkebang YB Zubir Abu Bakar yang meminta penjelasan berhubung perkembangan terkini industri nadir bumi serta status pelarasan di bawah Empat Kerajaan Negeri (SG4) dan penubuhan Majlis Mineral Negeri dalam sesi Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ketiga, hari ini.
“Sebagai langkah strategik, kerajaan negeri telah melaksanakan pelarasan sumber dan pendapatan baharu melalui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Industri NR-REE SG4 serta penubuhan Jawatankuasa Kerja NR-REE,” jelasnya.
![]() |
Ahli Dewan Negeri Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar |
Menurut beliau, pelan pembangunan itu turut merangkumi semakan dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti persampelan dan perlombongan, lawatan kerja teknikal untuk menilai potensi kawasan pembangunan, serta sesi libat urus dan rundingan bersama pelabur serta pemain industri.
Tambahnya, penubuhan Majlis Mineral Negeri kini berada di peringkat penyediaan draf, dan dijangka menjadi salah satu tonggak penting dalam pengurusan lestari sumber mineral negeri.
Untuk rekod, Kelantan dianggarkan mempunyai rizab NR-REE sebanyak 2.56 juta tan, dengan nilai pasaran mencecah RM125 bilion. Antara kawasan yang dikenal pasti berpotensi tinggi ialah jajahan Gua Musang, Jeli, dan Tanah Merah.
0 Comments