SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Sebelum ini kira-kira 400 hingga 500 orang dikesan menyeberangi sempadan secara haram setiap hari, namun jumlah itu kini kurang daripada 20 individu sehari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan harian bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin, Cawangan Khas dan tentera membawa kepada penurunan ketara penyeludupan dadah ke Kelantan.
Katanya dalam tempoh suku pertama tahun ini berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus berikutan penutupan laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sejak Disember tahun lalu.
“Kejayaan tersebut hasil penguatkuasaan ketat selepas pengisytiharan penutupan laluan haram di sempadan, selain kawalan di semua laluan tikus,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Mohd Yusoff berkata, penurunan mendadak kemasukan dadah membantu mengurangkan masalah penagihan dan memberi kesan positif kepada penurunan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.
Menurutnya juga paling membanggakan apabila penurunan kemasukan dadah menyebabkan rampasan dadah menurun daripada RM5.28 juta tahun lalu kepada RM2.23 juta bagi tempoh sama tahun ini.
“Ini membuktikan usaha penutupan laluan haram sepanjang Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Disember tahun lali sangat berkesan dalam membanteras penyeludupan dadah,” katanya.
0 Comments