Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 15 April 2025 – Sebanyak lapan acara sukan akan dipertandingkan dalam Temasya Sukan Muhibbah Malaysia–Thailand yang melibatkan penyertaan di antara Negeri Kelantan dan Wilayah Narathiwat pada 17 hingga 18 Mei 2025, di Stadium Utama Sungai Kolok, Narathiwat.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, acara yang dipertandingkan merangkumi sukan bertaraf antarabangsa, sukan tradisional serta acara kesenian yang mampu mengukuhkan semangat kejiranan serantau.
“Mesyuarat penyelarasan telah memuktamadkan lapan acara utama yang akan berlangsung sepanjang temasya tersebut. Ia terdiri daripada sepak takraw terbuka, bola sepak (kategori pegawai dan veteran), badminton lelaki dan wanita, serta pentaque lelaki dan wanita.
“Bagi acara sukan tradisional, pertandingan akan melibatkan acara tarik tali, lari dalam guni, lari sambil membawa air, serta persembahan kesenian yang mencerminkan warisan budaya kedua-dua wilayah,” jelas beliau menerusi hantaran di laman sosial rasminya pada Isnin.
Menurut YB Zamakhshari, penganjuran temasya ini bukan sekadar mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, bahkan berperanan sebagai jambatan perpaduan antara masyarakat dua wilayah serumpun.
“Diharapkan Sukan Muhibbah ini menjadi wahana memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan Thailand, khususnya Negeri Kelantan dan Wilayah Narathiwat. Kita bina perpaduan merentasi sempadan menerusi sukan, budaya dan semangat kejiranan demi kesejahteraan dan keamanan serantau,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Sukan Muhibbah Malaysia–Thailand yang diadakan di Narathiwat bersama delegasi dari Kelantan.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN), Mohd Sabilly Ramli; Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BES), Mohd Kamal Mohamed; serta Timbalan Pengarah U-BES, Firdaus Nawi.
Antara keputusan penting yang dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pemilihan lokasi pertandingan, jenis acara sukan yang dipertandingkan, jumlah penyertaan atlet, serta susunan majlis perasmian dan penutup temasya.
0 Comments