Ticker

6/recent/ticker-posts

PELIHARA KEASLIAN DIKIR BARAT, ELAK DICEMARI UNSUR NEGATIF – TIMBALAN MB

YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 14 April – Dikir barat, seni warisan rakyat Kelantan yang kaya dengan mesej dakwah dan nilai murni, perlu dipelihara keasliannya dan tidak dicemari unsur negatif.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa dikir barat ialah wadah seni yang mendidik, menyampaikan mesej Islam dan membentuk sahsiah.

"Namun sayangnya, ada pihak yang menyalahgunakannya dengan memasukkan unsur lucah dan kata-kata celupar yang menyeleweng daripada matlamat asal," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Islam tidak pernah meminggirkan kebudayaan.

"Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang memulakan satu amalan yang baik, maka dia akan mendapat pahala amalan itu dan juga pahala orang lain yang mengikutinya. Sebaliknya, jika dia memulakan keburukan, dia menanggung dosa dirinya dan orang yang menuruti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 anjuran Yayasan Tok Kenali dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan rakan penaja Kilang Padi Beras Darul Naim Sdn. Bhd. di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.

Menurutnya lagi, pada era pentadbiran mantan Menteri Besar almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, dikir barat telah diberi nafas baharu sebagai medium dakwah menerusi lirik-lirik yang mendidik melalui penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat yang dianggotai oleh imam dan guru halaqat.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru para penggiat seni untuk memainkan peranan memelihara keaslian dikir barat agar generasi akan datang tidak mewarisi versi yang telah rosak daripada segi akhlak dan estetika budaya.

“Kita tidak mahu dikir barat suatu hari nanti dikenang hanya kerana tarian dan lirik tidak senonoh. Ia asalnya adalah seni yang luhur dan menjadi suara masyarakat dalam menyampaikan nasihat, peringatan dan nilai-nilai hidup,” katanya.

Persembahan khas oleh Dikir Sri Halaqat Kelantan

Tambahnya, keunikan dikir barat sebagai warisan eksklusif rakyat Kelantan menjadikan seni ini identiti yang harus dibanggakan, dipertahan dan dimartabatkan.

“Sehingga kini, tiada negeri lain yang mampu mendakwa dikir barat sebagai milik mereka. Ini keistimewaan kita. Maka, sewajarnya ia dipelihara dalam bentuk yang asal dan tidak diseleweng oleh pengaruh luar,” jelas beliau.

Dato’ Dr. Mohamed Fadzli juga berharap seminar berkenaan menjadi medan pencerahan yang signifikan dalam menelusuri hubungan erat di antara seni, budaya dan Islam dalam membina tamadun masyarakat yang berakhlak dan berjati diri.

“Kalau kita sebut nasi dagang, songket atau batik, banyak negeri lain akan mengaku itu milik mereka juga. Tapi kalau sebut dikir barat, semua akan tahu itu adalah warisan Kelantan. Jadi, kita kena jaga kemurnian ini,” katanya.

Seminar tersebut turut menampilkan tokoh ilmuwan seperti Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG) Prof. Emeritus Dato’ Dr Johari Mat dan Timbalan Mufti Negeri Pahang Dato’ Badlishah Alaudin. Manakala moderatornya, Mohd Hariri Mohamad Daud.

Terdahulu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri membuka tirai wacana dengan syarahan bertajuk Kebudayaan dan Kesenian Menurut Kacamata Islam, yang menegaskan bahawa Islam tidak menolak seni selagi ia sejajar dengan fitrah insan yang menyukai hiburan yang bermanfaat.

Dato’ Badlishah pula menekankan kepentingan peranan alim ulama dan para asatizah dalam membimbing masyarakat seni agar tidak menyimpang dari landasan syariah.

Sementara itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr Johari menyeru agar identiti masyarakat Kelantan yang terserlah melalui budaya dan seni tempatan dipelihara melalui dasar-dasar berkaitan yang lebih dinamik.

“Usaha kerajaan negeri menggubal semula Enakmen Kawalan Hiburan 1998 ialah untuk mengawal bukan menyekat, supaya rakyat boleh berhibur mengikut batas agama,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments