Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBINAAN "SHEET PILE" SELESAI ISU BEKALAN AIR TANAMAN PADI

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 23 April- Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (MMK) yang bersidang pada 12 Mac bersetuju dengan cadangan kerja-kerja segera pembinaan benteng sementara (Sheet Pile) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di stesen pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi menyelesaikan masalah bekalan air pertanian untuk penanaman padi.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan bahawa (KPKM) telah membentangkan satu taklimat khas kepada MMK pada 18 September 2024 berhubung cadangan penyelesaian isu bekalan air pertanian.

"Dalam taklimat tersebut, pihak KPKM telah memohon daripada kerajaan negeri untuk membaiki low weir di pam Kemubu menggunakan sheet pile untuk meningkatkan paras air di rumah pam Kemubu milik KADA.

"Susulan daripada itu, pada Mesyuarat MMK Ke-06/2025 bertarikh 12 Mac 2025, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju dengan pelaksanaan kerja-kerja segera bagi pengukuhan benteng sementara dengan menggunakan sheet pile di Stesen Pam Kemubu, Kota Bharu."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN), Pasir Tumbuh, YB Dato' Abdul Rahman Yunus, di Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumbuh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus

Tambah YB Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga turut memainkan peranan aktif dengan memastikan semua pam di skim-skim bendang padi di kawasan seliaanya berada dalam keadaan baik, termasuk pam simpanan (backup).

"Bagi menyelesaikan masalah kekurangan air secara jangka pendek, JPS negeri telah melaksanakan pembinaan telaga tiub (tube well) bagi keperluan penanaman padi di kawasan skim pengairan KADA.

"Pihak JPS juga menyediakan sebanyak 106 nos bagi membantu para petani untuk mengatasi masalah kekurangan air di sawah pada musim penanaman padi," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments