Ticker

6/recent/ticker-posts

PANTAI SABAK BERPOTENSI JADI KAWASAN PELANCONGAN MENARIK

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor

Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 23 April – Pantai Sabak berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu tempat pelancongan kerana terdapat tempat yang menarik untuk beriadah, berkelah dan memancing.

“Di sana juga terdapat satu tempat yang bersejarah iaitu tapak pendaratan jepun semasa menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941,

Tapak itu sekarang ini berada di dalam laut dan pihak muzium telah membina satu tanda di atas darat bagi tempat bersejarah tersebut yang terletak di Kuala Pak Amat.”

Demikian menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.

Selain terkenal dengan hasil minuman air nira dan cuka daripada kelapa dan nipah, kata beliau di kawasan Sabak dan Pulau Gajah juga terdapat perkampungan nelayan yang masih mengekalkan cara hidup tradisional yang mana pengunjung berpeluang melihat aktiviti harian nelayan.

Jelasnya, antara aktiviti tersebut adalah seperti melihat kumpulan yang membuat perahu tradisional, membina dan membaik pulih perahu kolek serta melakukan kegiatan membaiki rebana ubi dan melakukan aktiviti budaya seperti bermain wau, dikir barat dan lain-lain lagi.

Tambah beliau lagi, di sana juga orang ramai dapat membeli ikan segar di pasar nelayan yang mengumpulkan hasil tangkapan harian daripada nelayan-nelayan di situ.

Ujarnya lagi, kedudukan Pulau Gajah itu yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, ia berpotensi untuk mengadakan perkhidmatan bot ke Pulau Perhentian bagi memudahkan pelancong ke sana tanpa perlu ke Kuala Besut yang memerlukan perjalanan yang jauh, cuma katanya, masa yang diambil untuk menaiki bot adalah agak lama sedikit.

Di samping itu, katanya lagi di Pulau Gajah juga terdapat sebuah masjid yang dibina oleh pihak swasta dengan nama masjid Ar- Rahman yang cukup unik dengan hasil binaan Melayu dan Nusantara yang mampu menarik pengunjung untuk singgah solat dan melawat ke sana.

Post a Comment

0 Comments