Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 16 April – Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik perkembangan terbaharu berhubung pembinaan projek Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai (KB-KK) bagi Pakej 2B yang melibatkan jajaran Ketereh–Kok Lanas, yang kini telah berjaya ditender semula kepada kontraktor baharu.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Hussin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui kerjasama erat dengan Kementerian Kerja Raya serta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan kesinambungan projek tersebut demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, projek berimpak tinggi itu sebelum ini mengalami kelewatan berikutan penamatan kontraktor terdahulu, namun kini kembali disambung selepas proses penilaian semula dan pemilihan kontraktor baharu yang dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
“Kerja-kerja pembinaan telah pun dimulakan pada Februari 2025, dengan tempoh siap yang disasarkan pada Ogos 2026. Perkembangan ini pastinya melegakan para pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi rakyat Kelantan yang telah sekian lama menantikan penyempurnaan projek ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau lagi, lebuh raya ini bukan sahaja akan meningkatkan akses dan keselamatan pengguna jalan raya, malah berpotensi besar menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar. Ia juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas, khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
“Kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan dengan teliti serta memastikan kerjasama rapat dengan semua agensi pelaksana dikekalkan agar segala perancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
“Ini adalah antara komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan keperluan infrastruktur strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Kita faham Lebuh Raya KB-KK merupakan antara projek infrastruktur terpenting di Pantai Timur dan penyambung utama kepada jaringan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang bakal melonjakkan lagi daya saing negeri Kelantan dalam aspek logistik, pelaburan serta mobiliti rakyat,” ujarnya.
0 Comments