Oleh: Norzana Razaly
HULU PERAK, 16 April - Kelantan berpotensi besar untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) kerana dikenal pasti mempunyai simpanan kedua tertinggi di negara ini selepas Terengganu.
Perkara tersebut dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah susulan lawatan kerja beliau bersama delegasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ke tapak perlombongan NR-REE di Kenering, Hulu Perak pada Selasa.
Perlombongan itu diusahakan oleh MCRE Resources Sdn Bhd.
“Sumber mineral nadir bumi di Kelantan dianggarkan sebanyak 2.5 juta tan dengan nilai pasaran semasa kira-kira RM129 bilion.
"Ini menjadikan Kelantan sebagai negeri kedua terkaya dengan sumber ini selepas Terengganu yang memiliki sekitar 7 juta tan,” katanya.
Menurut beliau, nilai ekonomi keseluruhan NR-REE di seluruh negara dianggarkan boleh mencecah RM810 bilion jika diurus secara berhemah dan mampan, sejajar dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan mineral strategik ini.
YB Hilmi turut memuji kaedah perlombongan mesra alam yang diguna pakai oleh MCRE, iaitu kaedah In-Situ Leaching (ISL), yang tidak memerlukan pengorekan terbuka atau penebangan hutan secara besar-besaran.
“Teknologi ISL yang digunakan oleh MCRE melibatkan penyuntikan larutan ammonium sulfat ke dalam tanah untuk melarutkan REE, yang kemudiannya diekstrak ke permukaan. Ia tidak menghasilkan sisa pepejal dan jauh lebih lestari berbanding kaedah perlombongan konvensional,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut wajar dijadikan model kepada negeri-negeri lain, termasuk Kelantan, dalam merangka dasar perlombongan lestari agar sumber mineral yang berharga itu dapat dimanfaatkan secara optimum tanpa menjejaskan alam sekitar.
Katanya lagi, MCRE Resources Sdn Bhd merupakan syarikat tempatan pertama yang diberi lesen perintis oleh Kerajaan Malaysia untuk menjalankan perlombongan NR-REE secara sah.
Tapak utama syarikat itu di Kenering meliputi kawasan seluas 2,161 hektar dan telah memulakan operasi pada Mac 2022.
"Lawatan kerja ini adalah langkah proaktif yang menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneroka potensi besar dalam sektor mineral strategik negara dengan berpaksikan prinsip kelestarian, pematuhan perundangan alam sekitar serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri," tegasnya.
0 Comments