Ticker

6/recent/ticker-posts

TMB ZIARAHI KEMATIAN "TONGGAK KELUARGA SILANG BUDAYA"



Oleh: Norzana Razaly

MACHANG, 9 April – Sejajar dengan aspirasi Kelantan Maju Rakyat Sejahtera yang berpaksikan nilai kasih sayang dan perpaduan masyarakat, kepimpinan negeri Kelantan terus komited menjalin hubungan erat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan membuktikan komitmen tersebut apabila meluangkan masa menziarahi keluarga mendiang Chua Sek Khim di Kampung Kelaweh, Temangan, semalam.

Beliau menyampaikan ucapan takziah atas pemergian ibu yang menjadi tonggak keluarga besar yang bersilang budaya.

Menurutnya, kunjungan berkenaan merupakan ziarah kedua beliau ke kediaman keluarga itu, selepas kunjungan pertamanya pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.


Dato’ Dr. Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan menyifatkan keluarga mendiang sebagai keluarga silang budaya yang unik dan istimewa kerana jalinan kekeluargaan yang utuh meskipun terdiri daripada pelbagai latar bangsa dan agama seperti Cina, Melayu, India, Serani dan Siam.

“Keluarga ini sangat unik dan istimewa kerana ahli keluarganya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama namun hidup dalam suasana yang harmoni dan sentiasa berkumpul, terutamanya ketika perayaan,” katanya menerusi catatan di laman sosial, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa semasa sambutan Tahun Baharu Cina lalu, lebih 70 ahli keluarga mendiang daripada pelbagai peringkat usia dan negeri berkumpul di kediaman berkenaan.

“Malah, ada ahli keluarga yang pulang dari Amerika Syarikat dan New Zealand semata-mata untuk bersama keluarga tercinta sempena perayaan tersebut.

“Sekali lagi saya merakamkan ucapan takziah atas kehilangan ibu yang menjadi tonggak keluarga besar ini,” katanya.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli bersama mendiang Chua Sek Khim (berkerusi roda) sewaktu meraikan Tahun Baharu Cina 2025.


Post a Comment

0 Comments