Ticker

6/recent/ticker-posts

YB AHMAD FADHLI ZIARAHI MANGSA TRAGEDI LETUPAN GAS, SERU RAKYAT TURUT MEMBANTU


Oleh: Norzana Razaly

PUCHONG, 7 April – Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari menzahirkan keprihatinannya terhadap mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights dengan menziarahi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Camellia, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau sempat bertemu secara langsung dengan beberapa mangsa kejadian, termasuk Aziz Zakaria, salah seorang penduduk yang terkesan apabila kediamannya musnah dalam insiden berkenaan.

"Ketika kejadian, saudara Aziz dan keluarga berada di kampung berhari raya di Kampung Jejawi Meranti, Pasir Mas," catat beliau menerusi hantaran di laman sosial rasmi, hari ini.

Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, YB Ahmad Fadhli turut menyampaikan sumbangan kepada Aziz serta menyantuni mangsa-mangsa lain yang kini berlindung sementara di PPS tersebut.


Terdahulu, beliau mengunjungi Bilik Operasi Khidmat Malaysia Puchong di PASTI Salman Al-Farisi bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi di lokasi kejadian.

“Saya turut mendengar taklimat daripada Setiausaha Khidmat Malaysia berhubung situasi semasa dan usaha bantuan yang sedang digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus mendoakan kesejahteraan mangsa dan menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan kewangan, makanan dan keperluan asas lain.

“Teruskan berdoa dan hulurkan bantuan untuk saudara-saudara kita yang diuji,” ujar beliau.

Orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan bagi menyokong gerak kerja bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Pertubuhan Prihatin Warga Puchong Puchong Care), Maybank: 562777258108.



Post a Comment

0 Comments