Oleh: Ahmad Fathi Yusoff Ajami
1. Sidang Dewan Negeri Kelantan kecoh, pembangkang dakwa diganggu. Begitulah tajuk laporan berita sebuah portal dalam melaporkan situasi 'panas' melibatkan Ketua Pembangkang, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) dan Ahli Dewan Negeri Melor, Wan Rohimi Wan Daud.
2. Namun begitu, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato' Sri Amar D'Raja Dato' (Dr.) Mohd Amar menyifatkan situasi tersebut merupakan warna-warni dan kemeriahan sebuah persidangan. Bahkan beliau menyatakan jika semuanya terlalu tenang tanpa perbezaan pandangan, mungkin dewan akan jadi terlalu sunyi.
3. Saya berkesempatan mengikuti secara online persidangan hari ini bermula jam 900 pagi sehingga hampir 530 petang. Suka untuk saya kongsikan secara ringkas perjalanan persidangan dewan hari ini.
4. Dewan hari ini mempunyai dua agenda utama. Pertama sesi soal jawab. Exco Kerajaan Negeri akan bangun menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli yang berhormat. Kedua, sesi perbahasan Titah Diraja. Para ahli dewan negeri akan bangun berbahas mengikut giliran masing-masing.
5. Kali ini saya ingin kongsikan berkaitan sesi soal jawab. Sebanyak 12 soalan telah dijawab oleh Menteri Besar Kelantan dan para Exco.
Pentadbiran Tanah
6. YAB Dato Panglima Perang Menteri Besar Kelantan telah menjawab persoalan mengenai pentadbiran tanah. Bagi meningkatkan prestasi pentadbiran tanah, sistem E-Tanah akan digunakan di seluruh negeri menjelang 2028.
7. Manakala bagi meningkatkan kecekapan para pegawai pentadbir tanah, kursus-kursus akan diadakan disamping penempatan strategik para pegawai serta pengambilan pegawai berkemahiran.
PMBI
8. Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr. Mohamed Fadzli bin Dato' Haji Hassan pula bangun menjawab persoalan mengenai prestasi pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI). Menurut beliau, PMBI dilaksanakan menerusi penerapan Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan (UMI) urus tadbir Kerajaan Negeri.
9. Dalam ucapan yang sama, Timbalan Menteri Besar menegaskan kesejahteraan sosial adalah tanggungjawab bersama. Saya sedikit terimbau ucapan ikonik PMX, 'anak melayu anak saya, anak cina anak saya' apabila mendengar ucapan Timbalan Menteri Besar: Kita rakyat Negara Malaysia, itu soal anak-anak kita, anak-anak bangsa kita, agama kita, yang kita kena lindungi walaupun dimana sahaja mereka berada.
10. Bersama ini saya sertakan infografik soal jawab Sidang Dewan Negeri Kelantan hari ini untuk tatapan rakan-rakan. InsyaAllah esok saya akan kongsikan pula pandangan saya mengenai perbahasan ahli-ahli Dewan termasuk insiden 'panas' Galas vs Melor.
0 Comments