Oleh: Ahmad Fathi Yusoff Ajami
1. Nantikan dahulu ‘kepanasan’ Galas vs Melor dalam Sidang Dewan Negeri Kelantan, kerana semalam berlangsung satu perbahasan yang benar-benar menarik perhatian saya.
2. Pembahas ini cukup mencuri tumpuan kerana tidak bersikap defensif apabila menyentuh isu pembangunan ekonomi Negeri Kelantan. Beliau secara terbuka menyatakan bahawa KDNK per kapita Kelantan pada tahun 2023 adalah RM16,836, jauh lebih rendah berbanding purata nasional sebanyak RM54,612.
3. Beliau turut menyebut secara terbuka bahawa Kelantan mencatatkan hanya RM1.9 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2024, jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri seperti Johor (RM70 bilion) dan Pulau Pinang (RM13 bilion).
4. Malah, beliau turut mengakui bahawa keadaan semasa pembangunan ekonomi Kelantan berpunca daripada kekurangan infrastruktur sokongan industri, termasuk bekalan air bersih, pengangkutan dan pelabuhan yang efektif.
5. Namun begitu, beliau cukup realistik dalam mencadangkan solusi untuk meningkatkan pembangunan ekonomi Negeri Kelantan, tanpa menafikan bahawa Kerajaan Persekutuan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan negeri ini mendapat peruntukan dan sokongan yang sewajarnya.
6. Malahan, beliau menegaskan bahawa kekurangan infrastruktur sokongan industri—termasuk jaringan pengangkutan dan pelabuhan yang efektif—adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
7. Beliau mengharapkan agar kerjasama erat yang sedang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ketika ini dapat membantu melancarkan serta mempercepatkan proses pembangunan tersebut.
8. Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan beberapa tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, yang pada hemat saya memerlukan ‘kehendak politik’ (political will) yang kuat untuk direalisasikan.
9. Pertama, beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kelantan 2025 bagi merancakkan sektor-sektor utama seperti pertanian bernilai tinggi, pelancongan berasaskan Islam dan industri teknologi hijau.
10. Kedua, beliau mencadangkan agar Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan (MTEN) diperkasakan bagi:
• Menyusun strategi ekonomi negeri secara holistik;
• Menyelaraskan pelaksanaan dasar ekonomi dengan lebih berkesan;
• Mempercepat proses pelaburan; dan
• Menggalakkan transformasi infrastruktur negeri, khususnya pembangunan infrastruktur kritikal seperti pengangkutan awam, bekalan air, dan teknologi digital.
11. Ketiga, beliau mencadangkan agar pembangunan kawasan industri siap guna (plug-and-play) dipercepatkan, termasuk:
• Memberi tumpuan kepada kawasan sempadan strategik seperti Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Pasir Puteh (Tok Bali);
• Menyediakan pakej insentif khas kepada pelabur dalam sektor logistik, automasi, sektor halal dan teknologi hijau;
• Membangunkan koridor industri sempadan Malaysia–Thailand bagi merangsang pembangunan zon perdagangan bebas rentas sempadan (cross-border free trade zone); dan
• Berusaha menaik taraf Tok Bali Supply Base kepada sebuah pelabuhan penuh (full-fledged port).
12. Sebagai penutup, beliau menekankan semangat Persekutuan (Federalisme) dengan menyatakan bahawa Kelantan memerlukan bentuk federalisme yang lebih adil dan seimbang untuk memastikan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri ini dapat dipercepatkan.
13. Ya, Kelantan mempunyai potensi yang besar, namun Kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerangka federalisme.
14. Kerajaan Persekutuan juga perlu lebih responsif terhadap keperluan negeri-negeri yang memerlukan perhatian lebih, terutama dalam aspek pembiayaan projek-projek besar dan infrastruktur.
15. Kerajaan persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam meningkatkan pembangunan Kelantan, khususnya dalam sektor pelaburan, infrastruktur, keselamatan sempadan serta penyelesaian isu-isu bencana seperti banjir dan bekalan air bersih.
16. Kita memerlukan federalisme yang lebih adil dan seimbang, di mana setiap negeri, terutamanya negeri-negeri yang kurang membangun seperti Kelantan mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya.
17. Pembahas yang saya maksudkan ialah YB Kamaruzaman Mohamad, Ahli Dewan Negeri Gual Periok. Ucapan penuh perbahasan beliau boleh ditonton di laman Youtube Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.
0 Comments